AULAS percaya VAR perlu digunakan bagi sesetengah insiden. -Foto AFP
AULAS percaya VAR perlu digunakan bagi sesetengah insiden. -Foto AFP
AFP

PARIS: Divisyen utama Perancis, Ligue 1 bersedia menggunakan video bantuan pengadil (VAR) musim depan selepas beberapa pemimpin kelab mendedahkan mereka bersetuju secara prinsip untuk mengamalkan teknologi itu.

“Teknologi video akan diguna dalam Ligue 1 musim depan,” kata presiden Guingamp, Bertrand Desplat selepas mesyuarat agung liga bola sepak Perancis (LFP), semalam.

“Jika semua berjalan lancar, kami patut memulakannya pada awal musim depan,” jelas presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet.

“Saya fikir ia daya usaha yang bagus, semua presiden kelab mahukannya, begitu juga pengadil dan pemerhati.”

VAR sudah digunakan sejak awal musim ini dalam Serie A dan Bundesliga dan akan diperkenalkan dalam La Liga Sepanyol musim depan.

VAR hanya boleh digunakan bagi insiden penting dalam perlawanan membabitkan gol, keputusan penalti, keputusan kad merah terus dan kes kesilapan identiti.

Penggunakan teknologi dalam liga itu adalah sebahagian daripada ujian dijalankan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB).

“Kami perlu melakukan apa yang kebanyakan negara membangun lakukan. Video diperlukan bagi sesetengah insiden,” kata presiden Lyon, Jean-Michel Aulas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 12:02 PM