TUCHEL sedar Lukaku tidak mampu berdepan intensiti tinggi ketika menentang Lille. FOTO Reuters
TUCHEL sedar Lukaku tidak mampu berdepan intensiti tinggi ketika menentang Lille. FOTO Reuters
Reuters

London: Chelsea berjaya menemui rentak serangan mantap selepas menumpaskan Lille 2-0 dalam aksi pertama 16 akhir Liga Juara-Juara namun perbincangan di Stamford Bridge banyak berkisar mengenai penyerang yang tidak diturunkan.

Pemegang rekod pembelian termahal Romelu Lukaku berada di bangku simpanan dan langsung tidak dimasukkan sebagai pemain gantian, manakala Kai Havertz dan Christian Pulisic berjaya meledak jaringan untuk membolehkan penyandang juara itu berada di kedudukan selesa selangkah ke suku akhir.

Sabtu lalu ketika menentang Crystal Palace, Lukaku melakukan sentuhan paling sedikit pernah direkodkan sepanjang 90 minit iaitu sebanyak tujuh kali tatkala data berkenaan mula dicatatkan di Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak musim 2003/04.

Rekod berkenaan menghangatkan lagi situasi selepas ada yang mempersoalkan mengenai peranan pemain antarabangsa Belgium itu dalam skuad Thomas Tuchel yang dilihat lebih mengancam musim ini jika ketiadaan Lukaku baik ketika cedera mahupun disebabkan Covid-19.

Lukaku meledak 24 gol liga dan melakukan 11 bantuan jaringan ketika bersama Inter Milan musim lalu untuk membolehkan kelab berkenaan meraih kejuaraan Serie A.

Dia bermula dengan baik selepas kembali semula ke Stamford Bridge buat kali kedua di awal musim apabila berpindah ke London Ogos tahun lalu.

Dia meledak tiga gol dalam tiga aksi pertama EPL dan berganding baik bersama penyerang lain.

Bagaimanapun, dia hanya mampu menambah dua gol liga selepas itu dan memberikan komen dalam temubual di televisyen, dengan berkata tidak sesuai beraksi mengikut corak Tuchel.

Tuchel memberitahu wartawan selepas aksi dengan Lille bahawa Lukaku memerlukan rehat selepas bermula dalam kesebelasan utama untuk beberapa perlawanan baru-baru ini.

"Fokus hari ini adalah lebih kepada intensiti, permainan yang laju dan kerja keras ketika tidak memegang bola

"Romelu agak bergelut dalam perlawanan terakhir untuk memenuhi tuntutan berkenaan," kata pengendali kelahiran Jerman itu.

Lukaku meledak dua gol daripada tiga jaringan yang dilakukan Chelsea ketika Piala Dunia Kelab yang menyaksikan pasukan dari London itu muncul juara awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 10:41 AM