MALONEY yang menurunkan barisan kedua pada pertemuan menentang Laos petang semalam akan membentuk sedikit rombakan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
MALONEY yang menurunkan barisan kedua pada pertemuan menentang Laos petang semalam akan membentuk sedikit rombakan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara tidak mempunyai pilihan selain perlu menang menentang Laos Isnin ini bagi mengelak menerima nasib seperti 'abangnya' yang terkandas di peringkat kumpulan saingan Piala AFF di Singapura dua bulan lalu.

Selain mengharapkan tuah memihak kepada pasukan negara, Pengendali B-23 negara perlu melakukan persiapan rapi termasuk memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan.

Maloney berkata, walaupun melihat laluan agak sukar untuk ke pusingan seterusnya namun beliau tetap optimis anak buahnya mampu bangkit pada perlawanan Isnin ini.

"Ini bukanlah perlawanan yang mudah dan kita memang jangka cabaran sengit daripada Laos. Mereka memiliki pemain yang lebih berpengalaman, ada yang beraksi di Piala AFF dan kelayakan sebelum ini, jadi mereka adalah pasukan yang sangat baik.

"Namun kita mendominasi sebahagian besar permainan dan mencipta banyak peluang. Jadi kita perlu lebih prolifik dengan bola dan kita berusaha keras ke arah itu supaya barisan serangan lebih berkeyakinan di hadapan gol.

"Prinsip dan corak permainan kami akan tetap sama kerana saya percaya kita beraksi dengan baik semalam. Cuma kita perlu belajar daripada kesilapan yang menyebabkan kita dibolosi dua gol itu dan menambahbaik daripada segi penyudah," katanya.

Selain itu, Maloney yang menurunkan barisan kedua pada pertemuan menentang Laos petang semalam akan membentuk sedikit rombakan bagi memberi peluang kepada semua pemain beraksi.

"Tujuan kita di kejohanan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada seberapa banyak pemain yang boleh. Perubahan akan tetap dilakukan tanpa mengira keputusan perlawanan yang dilakar.

"Mungkin tiga atau empat perubahan akan dilakukan dan ada beberapa muka baharu yang diturunkan untuk aksi itu nanti," katanya.

Sebelum itu, pasukan muda negara tewas 1-2 kepada Laos pada pada aksi sulung Kumpulan B Kejuaraan AFF B-23 di Stadium Prince, di Phnom Penh, Kemboja, petang semalam.

Gol skuad negara dijaringkan oleh A Selvan pada minit 45 sebelum Bouncphachan Bounkong menyamakan kedudukan 11 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Pasukan Laos terus mengesahkan kemenangan berpihak kepada mereka apabila menjadikan kedudukan 1-2 pada minit 79.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 7:16 PM