CANCELO tonggak Man City.
CANCELO tonggak Man City.
Agensi

London: Joao Cancelo menggembirakan Manchester City apabila menandatangani kontrak baharu yang memastikan dia kekal di Etihad sehingga musim panas 2027.

Pertahanan Portugal itu antara pemain paling menyerlah dalam skuad Pep Guardiola sejak beberapa tahun lalu.

Dia mendapat pujian pengurusnya awal bulan ini susulan sikapnya selepas kediamannya dipecah masuk perompak.

Kontraknya sebelum ini dilaporkan sekitar £80,000 seminggu berakhir 2025 dilanjutkan dua tahun lagi dengan terma lebih baik.

Cancelo yang tiba dari Juventus dengan harga £60 juta pada musim panas 2019 berkata: "Kontrak baharu ini bermakna fokus saya sepenuhnya untuk terus meningkatkan prestasi dan menghadiahkan lebih banyak trofi untuk City.

"Pemain City mempunyai apa sahaja untuk cemerlang dengan fasiliti hebat, rakan sepasukan bertaraf dunia dan pengurus berkredibiliti yang sentiasa menyuntik semangat kami.

"Tiada tempat lain untuk beraksi lebih baik dan saya teruja berada di sini. Banyak saya hajati sebelum menamatkan karier dan Man City menawarkan saya peluang terbaik untuk mencapai cita-cita.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 7:15 PM