Tan Cheng Hoe ketika memberi arahan kepada pemain skuad kebangsaan.
Tan Cheng Hoe ketika memberi arahan kepada pemain skuad kebangsaan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tan Cheng Hoe menjelaskan beliau tidak dijadikan 'kambing hitam' oleh mana-mana pihak untuk menutup kegagalan skuad negara di Piala AFF 2020 baru-baru ini.

Menurut Cheng Hoe meletakkan jawatan bukan satu keputusan yang mudah untuk dibuat dan menjelaskan bahawa tiada mana-mana pihak yang mendesaknya untuk berbuat demikian.

"Ia (keputusan letak jawatan) daripada isi hati saya dan bukan mudah buat keputusan yang drastik sepanjang karier saya sebagai jurulatih," katanya ketika temu bual bersama sebuah stesen televisyen swasta sebentar tadi.

Pagi tadi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan kenyataan media bahawa Cheng Hoe bertindak melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya selepas gagal mencapai sasaran layak ke final Piala AFF 2020.

Ujar Cheng Hoe dalam temu bual berkenaan keputusan melepaskan jawatan itu kerana mahu mengambil 100 peratus tanggungjawab atas kegagalan skuad kebangsaan serta memberi peluang kepada jurulatih lain yang boleh membawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik.

"Tapi, setiap jurulatih perlu melalui situasi ini kerana dalam bola sepak pemain datang dan pergi, jurulatih juga datang dan pergi, itu sebab saya ambil keputusan untuk kebaikan bola sepak terutama pasukan kebangsaan.

"Saya tak rasa saya 'dikambing hitamkan', sudah pasti saya ambil itu sebagai cabaran kepada saya kerana sebagai jurulatih memang kita nak sasar sesuatu dan kalau saya gagal, sebab itulah saya letak jawatan," kata jurulatih yang pernah membimbing pasukan Kedah itu.

Selain itu, Cheng Hoe turut berterima kasih kepada barisan pengurusan FAM dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta penyokong yang banyak memberikan sokongan kepadanya sepanjang bertindak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

"Sebagai jurulatih, saya akan teruskan kerjaya dan saya berharap pada masa akan datang, saya akan membuat lebih baik dari apa yang saya ada sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 5:14 PM