CONTE (kanan) mengambil berat soal pemakanan setiap pemainnya. FOTO EPA
CONTE (kanan) mengambil berat soal pemakanan setiap pemainnya. FOTO EPA
Agensi

London: Antonio Conte menegaskan beliau akan mengetahui pemain Tottenham yang melanggar arahannya berkaitan penjagaan badan mereka.

Pengendali dari Itali itu pantas melarang barisan pemainnya mengambil sos dan piza dekat pusat latihan kelab di Hotspur Way selepas dilantik selaku pengurus bulan ini.

Conte juga mengambil berat gaya tidur barisan pemain Spurs selain meminta mereka meninggalkan tabiat kehidupan liar.

Pengendali berusia 52 tahun itu sedar dia hanya boleh mengawal barisan pemainnya ketika mereka berada di atas padang.

Bagaimanapun beliau memberi amaran kepada anak buahnya bahawa pakar pemakanan kelab akan membantunya melihat mana-mana pemain yang melanggar arahannya itu.

"Saya boleh melihat keputusannya daripada pakar pemakanan sama ada ia OK atau sebaliknya.

"Saya mahu meningkatkan prestasi pemain dalam setiap aspek dan mahu mereka memahami kehendak saya.

"Anda perlu melakukan persediaan yang rapi terhadap fizikal dan minda anda. Jadi anda perlu bersemangat untuk melakukannya.

"Saya melaksanakan arahan ini bukan sahaja di Chelsea dan Juventus serta Inter Milan, tetapi juga ketika saya berada di Serie B bersama Siena," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 10:38 PM