ZUASYRAF tekad beraksi cemerlang untuk membenam JDT. FOTO TFC
ZUASYRAF tekad beraksi cemerlang untuk membenam JDT. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain meningkat naik Terengganu FC (TFC), Muhammad Zuasyraf Zulkiefle mahu menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk 'melemaskan' Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Isnin ini.

Pemain Terengganu FC II (TFC II) yang beraksi cemerlang ketika diturunkan dalam kesebelasan utama menundukkan Sarawak United FC 4-2 Khamis lalu juga tekad untuk menyekat penguasaan pemain tengah lawan yang menjadi nadi kekuatan skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Pemain mesra dipanggil Arah itu juga berazam mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang memberi peluang kepadanya beraksi dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

"Jika diturunkan sekali lagi sudah pasti saya mahu menggunakan peluang itu dengan sebaik mungkin untuk membantu pasukan merakam kemenangan walaupun sedar bukan tugas mudah buat kami berdepan dengan skuad gergasi dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Tapi jika rakan sepasukan turun dengan aksi 200 peratus di tambah sokongan padu daripada peminat setia, peluang untuk mencipta kemenangan sebagaimana ketika menumpaskan pasukan itu pada aksi pusingan pertama saingan Liga Super pada April lalu di Stadium Sultan Ibrahim bakal berhasil," katanya dihubungi hari ini.

Nada sama turut diluahkan pemain pertahanan kental, Muhammad Mohd Fauzi atau lebih mesra disapa Mad yang berazam mahu membalas kepercayaan jurulatih jika diberi peluang berada dalam pasukan selepas kembali pulih daripada kecederaan.

"Impian pada kali ini sudah semestinya untuk mengatasi pasukan JDT selepas ditunjukkan jalan keluar oleh skuad Harimau Selatan itu pada aksi suku akhir 2019.

"Dengan barisan pemain yang lengkap dimiliki TFC pada musim ini dan ditambah sokongan padu daripada peminat setia yang sudah pasti mampu memberikan aura positif kepada pemain, saya percaya peluang kami ke final musim ini cerah," katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu yang pernah menimba ilmu di Queensland, Australia ketika menyarung jersi Harimau Muda A, bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukannya tidak leka dengan setiap gerakan pasukan Harimau Selatan itu yang boleh membawa padah jika tidak dikawal ketat.

"Kami sebagai pemain semestinya bersedia dari segi fizikal dan mental, walaupun semua tahu JDT pasukan yang kuat dalam negara, tapi kami pun mempunyai strategi untuk menundukkan pasukan gergasi itu, dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 8:23 PM