PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain. -FOTO Malik Muhamad
PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Percaturan pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain merombak jentera tengah dan serangan sebelum turun berdepan Perak FC pada aksi pusingan kedua saingan Piala Malaysia Kumpulan B tidak menjejaskan corak pasukan itu.

Skuad Penyu itu berpesta gol membelasah The Bos Gaurus 4-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi selepas merakam kemenangan 4-1 pada aksi pusingan pertama di Stadium Perak, Ipoh minggu lalu.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Kelantan yang juga bekas penyerang Terengganu akui bukan mudah buat anak buahnya mencari gol kerana lawan tampil dengan taktikal berbeza selain kerap 'berkampung' di laman sendiri.

"Bagi saya bukan perlawanan yang mudah buat pemain untuk merakam kemenangan besar ke atas lawan, sebaliknya pemain terpaksa mengerah kudrat untuk memburu jaringan.

"Saya sudah jangkakan situasi itu, lebih-lebih lagi sebelum perlawanan saya turut meramalkan Perak akan bermain dengan corak bertahan tambahan pula mereka menurunkan pemain yang lebih berpengalaman berbanding aksi sebelum ini.

"Jadi saya minta pemain melakukan serangan awal bermula wisel pertama ditiupkan apatah lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

"Alhamdulillah perancangan kami menjadi selepas tiga gol terhasil pada babak pertama menerusi Makan Konate, David Da Silva dan Dechi Marcel sebelum jaringan keempat yang disumbat Faisal Halim melalui sepakan penalti," katanya.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, walaupun pasukannya sudah menempah slot ke peringkat suku akhir lebih awal, beliau mahukan baki dua perlawanan lagi berakhir dengan kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 11:48 AM