Aubameyang (kanan) dan Lacazette menjalani latihan ringan bersama skuad Gunners. FOTO Agensi
Aubameyang (kanan) dan Lacazette menjalani latihan ringan bersama skuad Gunners. FOTO Agensi
Agensi

London: Arsenal hampir pasti tanpa Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette bagi pertembungan tetangga London berdepan Chelsea, Ahad ini.

Namun Gunners bersedia mengekalkan gandingan itu selepas Tammy Abraham menyertai Roma.

Aubameyang, 32, dan Lacazette, 30, kedua-duanya tidak diturunkan dalam perlawanan pembukaan Arsenal yang tewas 0-2 kepada pendatang baharu Liga Perdana Inggeris, Brentford di gelanggang lawan.

Kedua-dua dalam keadaan kurang sihat dan menurut The Times, mereka mungkin tidak dapat pulih pada masanya untuk kembali menjalani latihan bagi persediaan melayan kunjungan Chelsea.

Terdapat juga dakwaan Arsenal sedia menjual dua gandingan penyerang itu, sekalipun kapten Aubameyang menandatangani kontrak perjanjian tiga tahun dilaporkan bernilai £350,000 (RM2.04 juta) mingguan, pada tahun lalu.

Namun pemain Perancis, Lacazette kini berada dalam tahun akhir di Emirates dan bersedia mengadakan rundingan dengan perpindahan percuma pada Januari.

Arsenal menyatakan minat terhadap Abraham, 23, yang dilepaskan Chelsea selepas menandatangani semula Romelu Lukaku.

Begitupun, penyerang England itu memilih untuk menyertai Roma yang kini dikendalikan oleh bekas bos Blues, Jose Mourinho.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan Arsenal tidak dapat menjual Aubameyang dan Lacazette dengan tiada pengganti dapat dikenal pasti.

Gunners turut dikaitkan dengan perpindahan membabitkan penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez, 23, yang menegaskan dia mahu kekal di Itali selepas ketiadaan Lukaku.

Eddie Nketiah, 22, juga terpaksa diketepikan Gunners sehingga bulan depan selepas mengalami kecederaan buku lali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 11:52 AM