CHRISTOPHER berharap agar MKN dapat melihat dan mengkaji semula kebenaran ke stadium khususnya buat peminat yang sudah menerima lengkap dua dos vaksin. FOTO Ihsan Facebook Christopher Raj
CHRISTOPHER berharap agar MKN dapat melihat dan mengkaji semula kebenaran ke stadium khususnya buat peminat yang sudah menerima lengkap dua dos vaksin. FOTO Ihsan Facebook Christopher Raj
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Negara (MKN) disaran supaya mencontohi pendekatan yang dilaksanakan oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Kerajaannya apabila membenarkan kemasukan penyokong bola sepak ke stadium.

Ia disuarakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj yang berharap agar MKN dapat melihat dan mengkaji semula kebenaran ke stadium khususnya buat peminat yang sudah menerima lengkap dua dos vaksin.

"28,342 kes di sana (kes Covid-19). 60% (peratus) lengkap vaksin. Stadium penuh.

"Di Malaysia, skuad negara nak main friendly pun tak lulus. Harap MKN buka mata lihat senario sukan antarabangsa.

"Tambah sikit, dua dos vaksin pun belum boleh masuk stadium. Murid yang belum vaksin pula kena masuk sekolah bulan depan," katanya di laman Twitter miliknya.

Semalam, peminat bola sepak di seluruh dunia kembali disajikan dengan saingan EPL yang membuka tirai musim baharu.

Beberapa aksi membabitkan kelab EPL disiarkan secara langsung di negara ini dan cukup mengejutkan apabila suasana liga cukup meriah dengan kehadiran penonton di setiap venue perlawanan.

Sebelum ini pada April lalu, MKN membenarkan kemasukan penyokong ke stadium dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ia termasuk kehadiran penyokong hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dibenarkan, atau untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP) sebanyak 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dibenarkan.

Bagaimanapun, kebenaran berkenaan ditarik balik susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak sejak beberapa bulan lalu, yang berpunca daripada kluster tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 5:10 PM