PENYOKONG duduk mematuhi penjarakan sosial ketika perlawanan Liga Super 2021 antara Kuala Lumpur FC menentang Sri Pahang di Stadium Kuala Lumpur pada April lalu. FOTO Asyraf Hamzah
PENYOKONG duduk mematuhi penjarakan sosial ketika perlawanan Liga Super 2021 antara Kuala Lumpur FC menentang Sri Pahang di Stadium Kuala Lumpur pada April lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyokong pasukan Liga Malaysia (Liga-M) meluahkan rasa teruja untuk kembali menjejakkan kaki ke stadium selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan semua penyokong akan dibenarkan memasuki stadium bermula perlawanan minggu ketiga Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

Selepas kali terakhir penonton dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan pada 9 Mei lalu, kerinduan yang mendalam untuk menyaksikan pasukan kesayangan beraksi akhirnya terubat selepas kerajaan mengumumkan kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

Penyokong Penang FC, Azhar Nordin menyifatkan ini adalah masa yang tepat untuk melihat penonton kembali ke stadium apatah lagi dengan bersempena ulang tahun ke-100 Piala Malaysia pada musim ini.

Cuma apa yang perlu dititikberatkan adalah tanggungjawab setiap individu yang perlu menjaga tingkah laku masing-masing di dalam stadium dan sentiasa menjaga kesihatan diri meskipun sudah lengkap dua dos vaksin.

"Harap dalam tempoh sebulan rehat ini, semua pasukan boleh mengkaji SOP terbaik bagi kemasukan stadium dan mungkin sebarang kelemahan atau kelonggaran yang hadir sebelum ini dapat diperbaiki.

"Biarpun sebahagian besar sudah lengkap dua vaksin, kita kena berhati-hati dan saya tidak kisah jika bilangan penyokong yang dibenarkan sama seperti kapasiti sebelum ini demi keselamatan semua, " katanya.

Bagi penyokong Negeri Sembilan FC, Nasron Yasin pula menyifatkan kemeriahan di stadium akan tetap dirasai dengan cara berbeza tidak kira berapa ramai jumlah penonton yang dibenarkan hadir mengikut kapasiti stadium.

"Jika kita lihat di luar negara terutama di Eropah, penyokong sudah dibenarkan masuk malah tanpa perlu ada penjarakan fizikal, jadi sememangnya sudah jadi satu keperluan untuk benarkan penyokong di Liga-M masuk ke stadium.

"Stadium kita mempunyai kapasiti yang besar dan sangat sesuai untuk membuat penjarakan fizikal malah saya rasa semua penonton akan berhati-hati dalam mengikuti SOP, " kata Nasron.

Sementara itu, penyokong Kuala Lumpur City FC, Khairul Nizam Arifin pula sudah membayangkan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras akan dihadiri ramai penonton tatkala pasukan itu sedang mengejar pencapaian terbaik untuk cuba layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

"Kuala Lumpur nampak semakin mantap di mana persembahan di penghujung liga dan dua perlawanan awal Piala Malaysia semakin membuatkan penyokong KL semakin teruja.

"Cheras sekarang menjadi kubu kuat Kuala Lumpur dengan tidak pernah kalah sepanjang Liga Super, jadi pastinya penyokong pun nak jadi sebahagian daripada sebab kepada stadium itu menjadi kubu kuat pasukan.

"Dapat merasa turun ke stadium dalam beberapa perlawanan membuatkan kami semakin teruja untuk kembali ke stadium, ditambah pula dengan ini ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, kami nak jadi sebahagian daripada sejarah dan cuba membantu Kuala Lumpur menjadi juara Piala Malaysia selepas sekian lama", kata Nizam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 5:30 PM