KAPASITI kehadiran penonton musim ini dijangka tidak berubah.
KAPASITI kehadiran penonton musim ini dijangka tidak berubah.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Harapan untuk melihat kemasukan penyokong ke stadium bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan kapasiti penuh agak sukar ekoran situasi tidak menentu pandemik Covid-19 yang masih menghantui negara.

Malah, kehadiran varian baharu Covid-19 seperti Omicron yang lebih pantas dan mudah merebak menyebabkan impian melihat lebih ramai 'pemain ke-12' hadir ke venue agak mustahil.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, bukan mudah untuk mendapatkan kebenaran itu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika ini.

Jelasnya, secara realistik dengan jumlah kes Covid-19 dan kewujudan Omicron, ia bukanlah waktu sesuai melihat kehadiran penonton dengan kapisiti penuh.

"Ini bukan sahaja isu bola sepak tetapi isu kesihatan dan keselamatan penyokong. Kita cuma berharap suatu masa dan waktu yang tepat kita akan menerima kembali kehadiran penyokong yang dapat memenuhi stadium," katanya.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan penyokong musim lalu, MFL mengumumkan pada Oktober di mana kehadiran penyokong mengikut status negeri yang berada di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagi negeri berada dalam Fasa 2 dibenarkan sebanyak 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3 dengan 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah).

Ia diikuti dengan negeri berada pada Fasa 4 iaitu 50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue yang digunakan untuk hari pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 10:21 PM