Pemain Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo meraikan jaringannya menentang Melaka United pada aksi Liga Super, di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
Pemain Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo meraikan jaringannya menentang Melaka United pada aksi Liga Super, di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Aksi lebih mantap dan padu ditagih Dollah Salleh apabila Sri Pahang FC berdepan Sabah FC di Stadium Likas, malam esok.

Ketua jurulatih skuad itu berkata, segala kelemahan yang dipersembahkan ketika seri 1-1 menentang Melaka United FC kelmarin, diharap dapat ditebus.

"Sudah pasti saya mahukan kemenangan kerana kedudukan Sri Pahang dalam saingan Liga Super ketika ini belum lagi selamat apabila kami berada di tangga kesembilan liga.

"Mahu atau tidak tiga mata menjadi sasaran utama untuk menambah mata sekali gus dapat memperbaiki kedudukan lebih baik.

"Saya percaya selepas pertemuan dengan Melaka United, pemain sudah mula menemui rentak perlawanan selepas dua bulan liga berehat," katanya.

Selepas 14 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kesembilan dengan mengutip 13 mata.

Namun, jika dilihat kepada kedudukan itu, ia masih belum selamat memandangkan Melaka United dan Perak FC, masing-masing mengutip 12 mata dan mampu memintas jika Sri Pahang terlepas mata.

Ditanya percaturan pemain berdepan Sabah malam esok, Dollah berkata, Abdul Malik Mat Ariff dan Manuel Hidalgo menjadi sandaran utama pasukan itu.

Katanya, dua pemain tengah itu terutama Abdul Malik menjadi nadi utama pasukan dalam memberi tekanan kepada jentera pertahanan lawan.

"Oleh itu saya harap Abdul Malik dapat mengekalkan prestasi terbaiknya selain jentera serangan diharap tampil lebih garang untuk merobek gawang tuan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:30 PM