POGACAR muncul juara keseluruhan TdF 2021. FOTO EPA
POGACAR muncul juara keseluruhan TdF 2021. FOTO EPA
AFP

Paris: Tadej Pogacar meraih kejuaraan kedua berturut-turut Tour de France (TdF), dengan melabelkan kejayaannya itu sebuah pengembaraan luar biasa, manakala Wout van Aert meraih kemenangan di peringkat terakhir di Champs Elysees di Paris.

Pogacar terpaksa menunggu sehingga ke dua peringkat terakhir untuk muncul juara edisi 2020, namun tahun ini dia sudah menunjukkan belang sejak minggu pertama sekali gus berjaya mengekalkan jersi kuning sehingga akhir saingan.

"Kami berjaya. Tahun lalu adalah kejayaan pertama, tapi kali ini saya tidak lagi menangis.

"Saya harap kami semua dapat kembali tahun depan tanpa perlu memakai pelitup muka. Ia satu pengembaraan yang luar biasa menjadi sebahagian daripada keluarga berbasikal," kata pelumba berusia 22 tahun itu sambil tersenyum.

Pelumba Jumbo dari Belgium, Van Aert meluru mengatasi jaguh Britain, Mark Cavendish untuk meraih kejuaraan peringkat ke-21, tatkala dia juga berjaya memenangi ujian masa di Saint Emilion dan peringkat pendakian di Mont Ventoux.

"Saya memenangi peringkat penting di TdF. Bagaimanapun, saya hanya pelumba kerdil berbanding Tadej.

"Ia satu pembakar semangat untuk ke Tokyo. Saya akan cuba memenangi kedua-dua emas," katanya yang akan berangkat ke Olimpik 2020 di mana dia akan mengetuai pasukan Belgium dalam acara lebuh raya dan ujian masa.

Memasuki era veteran, Cavendish hampir mencatatkan kemenangan buat kali kelima pada edisi kali ini dan hanya berpuas hati dengan 34 kali muncul juara peringkat sepanjang menyertai TdF.

Empat kemenangan daripada enam peringkat yang berakhir dengan penamat beramai-ramai sudah cukup buatnya untuk menyamai rekod Eddy Merckx (34 kejuaraan) di TdF sekali gus membolehkannya meraih jersi hijau (Raja Pecut) tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 8:54 AM