KANE menjadi ancaman utama Denmark. FOTO EPA
KANE menjadi ancaman utama Denmark. FOTO EPA
Agensi

London: Bintang Denmark, Andreas Christensen percaya dia serta rakan sepasukan lain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris mempunyai jawapan untuk menyekat kemaraan penyerang England, Harry Kane.

Ia sekali gus akan mendiamkan penyokong yang memenuhi Stadium Wembley apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi separuh akhir Euro 2020 awal pagi Khamis.

Pemain pertahan Chelsea berusia 25 tahun itu mempunyai rekod baik menghalang gerakan penyerang berbisa England yang memakai jersi nombor sembilan itu.

Malah Denmark juga boleh mengharapkan pemain tengah mereka, Pierre-Emile Hojbjerg yang juga rakan sepasukan Kane di Tottenham.

"Kami mengetahui kualiti yang ada padanya dan setiap pemain juga mempunyai idea bagaimana untuk menyekatnya," kata Christensen.

"Pierre-Emile Hojbjerg juga mengenalinya dan dia mungkin boleh berkongsi sesuatu kepada kami. Semua pemain bola sepak mempunyai karakter masing-masing dan kami harus mengambil kesempatan daripadanya."

Kane yang menjaringkan gol ketika menewaskan Jerman pada pusingan kedua dan menambah dua gol lagi ketika membenam Ukraine 4-0 di suku akhir, akan menjadi ancaman utama Denmark.

"Dia salah seorang penyerang yang mempunyai penyudah terbaik.

"Bentuk badannya besar, jadi agak sukar untuk mencabarnya. Kane juga mempunyai kemahiran kawalan bola sangat baik," kata Christensen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:56 AM