PENYOKONG memenuhi stadium ketika perlawanan Liga Super China (CSL) antara Guangzhou FC dan Guangzhou City. FOTO AFP
PENYOKONG memenuhi stadium ketika perlawanan Liga Super China (CSL) antara Guangzhou FC dan Guangzhou City. FOTO AFP
AFP

Shanghai: Kira-kira 30,000 penonton menyaksikan perlawanan membabitkan Guangzhou FC serta Guangzhou City yang berkesudahan kedua-dua pasukan seri 2-2 pada aksi pertama musim baharu Liga Super China (CSL), hari ini.

Legenda Itali, Fabio Cannavaro yang berdepan tekanan berikutan kempen mengecewakan Guangzhou FC musim lalu, menyaksikan pasukan bimbingannya mendahului selepas memasuki tujuh minit permainan menerusi gol pemain antarabangsa China kelahiran Brazil, Alan Carvalho.

Bagaimanapun lawan mereka menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian hasil jaringan sendiri dan City kemudian di depan minit ke-51 menerusi gol Ye Chugui.

Pemain gantian, Wu Shaocong menyelamatkan skuad bimbingan Cannavaro menerusi gol penyamaan ketika permainan berbaki empat minit.

Dalam satu lagi perlawanan pembukaan, Shandong Taishan menewaskan Chongqing 2-0.

Kesemua perlawanan peringkat pertama CSL berlangsung sama ada di Guangzhou atau Suzhou berhampiran Shanghai sebagai salah satu usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kesemua 16 pasukan akan tinggal di hotel sekali gus diasingkan daripada menemui orang awam.

Bagaimanapun tidak seperti acara sukan di negara lain, penyokong dibenarkan menyaksikan perlawanan di stadium dengan wabak Covid-19 dilaporkan kini sudah terkawal di China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 11:43 PM