Pemain TFC meraikan kejayaan menewaskan Perak FC 2-0 pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan TFC.
Pemain TFC meraikan kejayaan menewaskan Perak FC 2-0 pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan TFC.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bagi memastikan peminat setia melakukan persiapan awal dan mengelak mereka kempunan, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd memperuntukkan sebanyak 6,000 tiket bagi aksi Liga Super bertemu KL City FC pada 16 April ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Menerusi laman sosialnya, peminat boleh mula mendapatkan tiket berharga RM20 sekeping secara online bermula esok melalui www.tickethotline.com.my.

"Makluman semua penyokong Terengganu, tiket bagi perlawanan Liga Super pertemuan TFC menentang KL City pada Jumaat depan akan dijual secara atas talian bermula esok.

"Jumlah tiket yang akan dijual sebanyak 6,000 keping dengan harga RM20.00 sekeping bagi tempat duduk terbuka dan jualan hanya kepada penyokong Terengganu sahaja dengan maksimum pembelian tiket hanya dua keping seorang.

"Tiket tidak boleh dipindah milik dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta warga emas berusia 65 Tahun ke atas tidak digalakkan memasuki stadium.

"Tarikh jualan pada 10 April hingga 12 April akan dibuka kepada pemegang kad TFC 'membership' manakala bermula 13 April hingga 16 April penjualan dibuka kepada orang ramai dan ditutup pada jam 6 petang hari perlawanan.

"Kita akui peminat begitu teruja untuk ke stadium, namun kita harapkan peminat setia TFC dapat menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan.

Pertembungan itu dijangka menarik ramai peminat setia pasukan hitam putih itu selepas lebih setahun tidak memasuki stadium kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 8:01 PM