Badrul Afzan akui tugas getir bakal dilalui anak buahnya bertemu Pera II. FOTO TFC
Badrul Afzan akui tugas getir bakal dilalui anak buahnya bertemu Pera II. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) terpaksa melakukan rombakan ke atas pasukannya yang akan bertemu Perak FC II di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, ketiadaan pertahanan import berpengalaman, Masaki Watanabe yang digantung perlawanan selepas menerima kad merah ketika bertemu PDRM FC, Sabtu lalu sudah pasti dirasai pasukan.

Malah katanya, ketiadaan penyerang import kelahiran Ghana, Jordan Mintah yang membantu pasukan 'abang' Terengganu FC (TFC) menentang Sri Pahang FC malam esok juga memberi tamparan hebat buat pasukannya untuk mengekalkan rekod tanpa kalah.

Bagaimanapun jurulatih muda itu tidak begitu panik sebaliknya percaya pemain yang diturunkan mampu memikul tugas yang diberikan biarpun akui masih mentah pengalaman.

"Saya tiada pilihan selain terpaksa melakukan rombakan kecil berdepan Perak II malam esok kerana misi kita adalah untuk melakar kemenangan dan seterusnya mengekalkan rekod tanpa kalah.

"Saya harapkan pemain yang bakal diturunkan nanti bijak menggunakan peluang kerana sedar sudah pasti lawan bakal memberikan tentangan sengit untuk melakar kemenangan," katanya.

The Turtles yang kini menghuni di tangga kelima Liga Perdana dengan mengutip lapan mata berdepan dengan krisis ketumpulan penyudah selepas hanya merekod satu kemenangan manakala lima kali seri daripada enam perlawanan.

"Kita tidak mahu keciciran mata lagi, biarpun sedar perjalanan liga masih panjang, namun kita perlu mengutip mata penuh dalam setiap perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 7:02 PM