REEZAL ketika melakukan pemantauan semalam di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO FB MFL
REEZAL ketika melakukan pemantauan semalam di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hasrat jutaan penyokong bola sepak negara untuk kembali menghangatkan suasana di stadium akhirnya berakhir apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan penonton boleh hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana bermula 6 dan 7 April ini.

Pengesahan itu selepas beliau menyaksikan perlawanan projek perintis kemasukan penonton antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

"Apa yang berlaku hari ini (semalam) cukup penting kepada penganjuran liga di bawah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas lama menanti kerana akhirnya peminat kembali ke stadium dengan protokol pengurusan yang terperinci dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Perlawanan hari ini (semalam) adalah untuk penonton dan bakal menjadi pembuka laluan mudah kepada aksi-aksi perlawanan bagi kita saksikan kehadiran penonton.

"Saya memuji pengurusan JDT selaku tuan rumah yang banyak membantu terhadap pematuhan SOP dengan penglibatan 260 petugas yang merangkumi 30 pegawai sports bubble, 60 marshal, 40 askar Timbalan Setia Negeri dan 130 anggota polis.

"Setakat ini apa yang saya boleh katakan tiada halangan bagi kemasukan penonton untuk perlawanan lain kerana berdasarkan pemerhatian daripada MKN, mereka berpuas hati secara keseluruhan.

"Kelulusan saya sebenarnya sudah dapat tapi sekiranya ada pemerhatian lain oleh pihak MKN, mungkin keputusan lain akan dibuat tetapi buat masa ini, saya boleh katakan tiada masalah," katanya.

Pada perlawanan semalam, penonton dibenarkan masuk ke dalam stadium bermula jam 6 petang sebelum pintu ditutup pada jam 8.30 malam.

Sebanyak dua zon tempat duduk sahaja dibuka membabitkan zon B dan C dengan setiap penonton wajib menjaga penjarakan sosial dengan jarak dua kerusi sesama mereka sepanjang perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 7:30 PM