Pemain muda KDA FC, Fayadh Zulkifli mempamerkan aksinya dalam perlawanan persahabatan pramusim menentang Selangor II di Shah Alam semalam. FOTO Ihsan KDA FC
Pemain muda KDA FC, Fayadh Zulkifli mempamerkan aksinya dalam perlawanan persahabatan pramusim menentang Selangor II di Shah Alam semalam. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu mengutip pengajaran terbaik melalui lima perlawanan latihan pramusim yang dirancangnya sebelum bermulanya Liga Malaysia (Liga M) dengan perlawanan pembukaan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 5 Mac depan.

Ketua Jurulatih skuad Hijau Kuning Aidil Sharin Sahak berkata meskipun tempoh skuadnya membuat persediaan terhenti lebih sebulan sebelum ini, namun beliau yakin skuadnya akan terus bekerja keras bagi memastikan persediaan menghadapi Liga M berjalan lancar.

"Alhamdulillah pemain dapat mencari rentak dalam perlawanan menentang Selangor II semalam, cuma beberapa posisi pertahanan yang perlu diperkemas dan dibuat pembetulan.

"Ada berapa perkara yang dapat kita belajar dari perlawanan semalam, dan apa yang penting adalah pemain dapat mencapai objektif yang kita mahukan seperti aspek kecergasan dan kombinasi antara pemain dalam permainan serta beberapa aspek positif lain.

"Sudah pasti keputusan perlawanan semalam bukan sesuatu yang terpenting buat masa ini ,tetapi ia sedikit sebanyak meningkatkan moral pemain dalam persediaan kita seterusnya." katanya selepas menyaksikan Kedah menang tipis 3-2 ke atas Selangor II di Shah Alam semalam.

Manakala pemain pertahanan baharu KDA FC Rodney Celvin, pula menganggap tentangan yang tinggi sentiasa dihadapi Kedah dalam semua aksi yang berlangsung sebelum ini termasuk bertemu Selangor II semalam.

"Meskipun berhadapan dengan pemain muda yang memberi tentangan sengit, tetapi kami tetap tidak berputus asa dan sentiasa mahu buktikan tahap persiapan terbaik yang sedang kami dilalui.

"Walaupun masih banyak lagi perkara dalam permainan yang perlu saya baiki dan juga objektif utama persiapan, namun saya yakin pihak jurulatih sudah dapat mengetahui apa yang perlu diperbaiki untuk diri saya dan pasukan.

"Jadi dalam persiapan melalui perlawanan akan datang sebelum sepak mula Liga M musim ini, saya berharap semua pemain dapat mengambil pengajaran dengan lebih serius melalui pengalaman sepanjang persiapan latihan pramusim kali ini." katanya.

Kedah bakal meneruskan dua lagi sesi latihan pramusim di Lembah Klang dengan perlawanan menentang Skuad Projek MSN Bawah 21 (U21) pada 26 Februari dan yang terakhir menentang Sarawak United FC (SUFC) pada 27 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 4:53 PM