BARISAN pemain TFC akan mengadakan perlawanan persahabatan di Johor. FOTO FB TFC
BARISAN pemain TFC akan mengadakan perlawanan persahabatan di Johor. FOTO FB TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) asah taji di Johor manakala pasukan 'adik' berstatus 'feeder club' Terengganu FC II (TFC II) asah taring di Shah Alam.

Ketua Pegawai Operasi (COO), Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, aksi persahabatan penting untuk menilai prestasi pemain dan pasukan selain memperbaki kelemahan yang ada.

"Skuad TFC kendalian Nafuzi Zain bakal menyertai kejohanan empat penjuru membabitkan pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta'zim (JDT), Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Melaka United yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor bermula malam ini.

"Manakala pasukan TFC II kendalian Badrul Afzan Razali akan berkunjung ke Stadium UiTM Shah Alam untuk menyertai kejohanan Piala Bandaraya Shah Alam membabitkan tiga pasukan iaitu UiTM FC dan juga Perak FC bermula Jumaat ini.

"Kita harapkan kejohanan itu membuka ruang buat jurulatih kedua-dua pasukan untuk menganalisis kelemahan dan kekuatan yang ada sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mac depan," katanya.

Sementara itu ketua jurulatih TFC II, Badrul Afzan berkata, beliau akan memanfaatkan sebaik mungkin aksi pemanas badan itu untuk menilai prestasi pemain dan juga pasukannya sebelum pentas Liga Perdana bermula.

"Kita akan 'berkampung' selama seminggu di Shah Alam, pada kejohanan itu nanti kita tidak menyasarkan kejuaraan sebaliknya apa yang kita harapkan dapat menilai prestasi semasa pasukan sebelum kami buat 'homework'.

"Kami pun sudah ingatkan pemain agar jadikan kejohanan berkenaan sebagai medan terbaik mempamerkan aksi sebenar mereka kerana dengan masa yang begitu terhad ini, kita tidak boleh mengadakan aksi persahabatan yang lebih banyak lagi.

"Lagipun kita menyerap beberapa muka baharu dalam pasukan termasuk tonggak import dari Jepun, Masaki Watanabe selain pemain tempatan biarpun majoritinya dibarisi muka lama," katanya yang menyasarkan kedudukan lima terbaik dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Kejohanan berkenaan menggunakan konsep gelembung sukan seperti mana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 7:12 PM