KOEMAN juga mengakui sedia untuk menurunkan Messi menjelang aksi Copa del Rey awal pagi esok. FOTO EPA
KOEMAN juga mengakui sedia untuk menurunkan Messi menjelang aksi Copa del Rey awal pagi esok. FOTO EPA
AFP

Barcelona: Jurulatih Barcelona, Ronald Koeman berkata, pemainnya tidak akan diganggu dengan masalah kewangan kelab dan mengharapkan semuanya fokus menjelang aksi berdepan Rayo Vallecano dalam saingan Copa del Rey awal pagi esok.

Koeman bakal membariskan semula Lionel Messi dalam skuad bagi aksi 16 akhir berdepan pasukan divisyen dua itu selepas pemain berkenaan digantung kerana menerima kad merah dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol.

Koeman memberitahu dalam sidang media bahawa pemain Argentina itu sudah bersedia namun enggan memberi jawapan sama ada bakal diturunkan dalam kesebelasan utama atau tidak.

"Leo sudah bersedia untuk bermain dan meraih kemenangan, dia digunakan untuk memenangi trofi, dia adalah pemain yang mempunyai mentaliti ingin menang dan mahu disenaraikan dalam setiap perlawanan.

"Esok apabila kami tiba di sana, saya akan mengumumkan senarai pemain. Messi sedang bersemangat, segar namun untuk memenangi perlawanan kita mahukan dia cergas," kata Koeman.

Barca mengeluarkan laporan kewangan mereka bagi musim 2019/20 kelmarin, dengan mendedahkan hutang sebanyak €1.173 bilion (RM5.73 bilionn) termasuk €730.6 juta (RM3.5 bilion) bagi tempoh jangka pendek, kebanyakan membabitkan tunggakan pembelian pemain.

Media tempatan melaporkan Barcelona menangguhkan pembayaran gaji pemain untuk Disember pada bulan depan.

Sementara itu, mereka juga mengumumkan bahawa 7 Mac ini adalah tarikh pemilihan presiden dan buat pertama kali ia diadakan secara pos.

Ia sepatutnya berlangsung pada 24 Januari namun ditangguhkan akibat larangan merentas negeri di Sepanyol disebabkan peningkatan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 2:53 PM