Farizal Marlias ketika sesi latihan. FOTO FB JOHOR Southern Tigers
Farizal Marlias ketika sesi latihan. FOTO FB JOHOR Southern Tigers
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kejayaan memenangi Anugerah Penjaga Gol terbaik buat kali kelima pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) menyuntik semangat penjaga gol kebangsaan Farizal Marlias untuk terus mempamerkan aksi cemerlang bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Farizal, 34, percaya anugerah berkenaan akan menaikkan semangat dirinya untuk terus mengecapi kejayaan bersama skuad Harimau Selatan yang berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Pemain kelahiran Maran, Pahang itu pernah memenangi gelaran sama pada empat edisi terdahulu iaitu ketika mewakili Perlis pada 2009 selain gelaran hatrik bersama JDT pada 2015, 2018 dan 2019.

"Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada keluarga, isteri, anak-anak, ibu bapa, rakan-rakan serta rakan sepasukan, staf kejurulatihan dan juga pihak pengurusan pasukan.

"Semestinya tidak dilupakan juga Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa di belakang saya ,malah yang sentiasa memberikan aura-aura positif kepada kami semua," kata Farizal dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Rakan sepasukannya Muhammad Safawi Rasid turut berkongsi kegembiraan selepas dinobatkan Pemain Tengah Terbaik buat kali kedua selepas meraih gelaran sama pada 2018.

Pemain sayap kebangsaan itu pernah dipilih selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada 2018 dan 2019, selain turut memenangi beberapa gelaran lain iaitu Pemain Muda Harapan 2018, Penyerang Terbaik 2019 dan Pemain Paling Popular 2019.

"Terima kasih atas anugerah yang diberikan ini dan semestinya saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua keluarga dan pasukan terbabit.

"Tidak dilupa, (pemilik JDT) Tunku Mahkota Johor yang selalu memberi sokongan kepada saya dan juga buat penyokong bola sepak Malaysia, kita berjumpa lagi pada musim 2021," kata pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.

ABK20 yang diadakan secara maya pada Rabu lalu susulan penularan pandemik Covid-19 turut menyaksikan JDT meraih tiga gelaran lain iaitu Pemain Pertahanan Terbaik (Aidil Zafuan Abdul Radzak), Jurulatih Terbaik (Benjamin Mora) serta Pasukan Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 10:07 PM