Jurgen Klopp (kiri) meraikan kejayaan Liverpool bersama bintang Mesir, Mohamed Salah. FOTO AFP
Jurgen Klopp (kiri) meraikan kejayaan Liverpool bersama bintang Mesir, Mohamed Salah. FOTO AFP
Agensi

London: Jurgen Klopp tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Mohamed Salah mungkin akan meninggalkan Liverpool selepas penyerang Mesir berkata dalam satu temu bual minggu lalu bahawa masa depannya bergantung kepada kelab itu.

Salah yang menandatangani kontrak lanjutan lima tahun pada 2018 selepas menyertai skuad Reds dari Roma tahun sebelumnya, turut mengakui dalam satu temu bual bersama akhbar Sepanyol, AS bahawa dia sangat kecewa selepas diabaikan untuk menjadi ketua pasukan ketika Liverpool seri 1-1 menentang Midtjylland dalam saingan Liga Juara-Juara awal bulan ini.

Pemain berusia 28 tahun itu dikait kuat dengan Real Madrid sejak kebelakangan ini dan ditanya jika dia berminat dengan perpindahan ke La Liga pada masa depan.

"Madrid dan Barcelona adalah kelab utama," kata Salah.

"Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tetapi buat masa ini saya memberi tumpuan untuk memenangi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara sekali lagi bersama kelab saya.

Sudah tentu saya mahu memecah rekod di sini dan saya mengulangi, setiap rekod dalam kelab, tetapi semuanya bergantung kepada kelab ini.

Klopp menegaskan bahawa Salah, yang menjaringkan 86 gol dalam 121 penampilan buat Liverpool dan mendahului senarai penjaring terbanyak musim ini, berada "dalam detik yang terbaik".

"Kami tidak pernah bercakap [mengenai kontrak]," katanya.

"Mo berada dalam keadaan dan detik yang baik, tepat dan ia adalah perkara paling penting. Anda tidak akan dapat melihat dia banyak ketawa [di sesi latihan].

"Semuanya mengenai perkara yang baik sahaja tetapi secara peribadi, tiada apa yang perlu diperkatakan lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 9:43 PM