NEYMAR meraikan jaringannya menerusi sepakan penalti. FOTO AFP
NEYMAR meraikan jaringannya menerusi sepakan penalti. FOTO AFP
AFP

Paris: Neymar menjaringkan gol ke-50 untuk Paris Saint-Germain (PSG) ketika seri 2-2 dengan Bordeaux namun memberi amaran pendahulu Ligue 1 itu perlu memperbaiki prestasi menjelang pertemuan Liga Juara-Juara bertemu Manchester United.

Pemain termahal dunia itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk menafikan jaringan sendiri Timothee Pembele sekali gus muncul pemain paling pantas meraih jumlah jaringan itu untuk PSG mengatasi Zlatan Ibrahimovic.

Moise Kean kemudian meletakkan PSG di depan sebelum Yacine Adli menyamakan kedudukan untuk Bordeaux sekali gus berkongsi satu mata.

Ia keputusan mengecewakan bagi juara bertahan itu yang seminggu lalu tewas 2-3 di Monaco dan kedudukan teratas liga mampu di pintas pesaing terdekat.

"Jika kami tidak memperbaiki prestasi, ia pasti akan menyukarkan kami pada saingan liga serta Liga Juara-Juara," kata Neymar kepada Canal Plus menjelang kunjungan ke Old Trafford, Rabu ini.

"Kami sedar betapa penting perlawanan pada Rabu ini. Kami tidak beraksi dengan baik ketika bertemu Leipzig tetapi akhirnya mencatatkan kemenangan.

"Rabu ini kami akan cuba mempamerka aksi terbaik. Kami perlu beraksi sebagai satu pasukan, jika tidak pasti sukar," katanya.

Kekalahan kepada United di Old Trafford menyaksikan naib juara musim lalu itu bakal tersingkir awal pada peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 9:47 AM