PEPE (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
PEPE (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa Nicolas Pepe supaya lebih konsisten tetapi pada masa sama tidak mempersoalkan sikap pemain sayap itu dan sedia membantu.

Pepe yang dibeli dengan harga rekod kelab £72 juta (RM387 juta) daripada Lille pada Ogos 2019 masih bergelut untuk mengulangi prestasi cemerlang seperti ketika bersama kelab Ligue 1 itu musim lalu.

Pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 25 tahun itu hanya menjaringkan lima gol dalam aksi liga di England berbanding 22 jaringan pada tahun terakhir di Perancis.

Pepe mempamerkan kualiti sebenarnya awal pagi tadi menerusi rembatan cantik ketika Arsenal menewaskan Dundalk dalam saingan Liga Europa, gol keduanya dalam semua kejohanan pada musim baharu.

Tetapi ia hanya satu daripada lima percubaan yang tepat ke sasaran selain kerap membazirkan hantaran rakan sepasukan.

Arteta ditanya kemungkinan tanda harga pemain itu yang menimbulkan masalah tetapi katanya: "Mengenali Nico, saya tak fikir ia merisaukannya. Ia hanyalah mengenai prestasi. Saya percaya selepas ini dia boleh melakukan dengan lebih baik. Kami akan berusaha membantunya.

"Saya rasa dia sedia berusaha dan menunjukkan kepada sesiapa sahaja terutamanya rakan sepasukan, saya dan penyokong bahawa dia adalah pemain yang boleh mencipta perbezaan pada setiap minggu.

"Ia mengenai konsistensi, bukan sahaja pada setiap perlawanan tetapi juga dalam sesuatu perlawanan. Dia juga perlu membuat keputusan betul di atas padang. Ia tiada kaitan dengan sikapnya. Dia pemain yang sedia mengambil risiko dan sangat kreatif,'' kata Arteta.

Selepas hanya sekali diturunkan dalam kesebelasan utama untuk aksi liga, Pepe kini mengintai tempat ketika Arsenal menentang Manchester United, hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 10:05 AM