PEI Jing (kiri) dan Kian Meng tersingkir awal di Kejohanan Dunia. FOTO ASWADI ALIAS
PEI Jing (kiri) dan Kian Meng tersingkir awal di Kejohanan Dunia. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Air mata menjawab persoalan apa yang bermain di fikiran pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing selepas terkandas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, semalam.

Pei Jing yang berpasangan dengan Tan Kian Meng mengakui betapa kecewanya dirinya apabila terpaksa akur tewas di tangan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 15-21, 18-21 pada aksi yang berlangsung di Royal Arena.

Pei Jing menerusi hantaran di Instagram miliknya memohon maaf kepada peminat badminton negara kerana gagal memberikan aksi terbaiknya di kejohanan itu.

"Saya memohon maaf kerana prestasi buruk saya hari ini (semalam). Saya rasa bersalah apabila membuang masa berharga anda semua menonton perlawanan saya.

"Saya berjanji kepada anda semua, saya tidak akan putus asa, tidak kira betapa letih dan betapa sukarnya situasi yang saya hadapi.

"Selagi anda semua tidak berputus asa dengan kami, kami tidak akan berputus asa dengan diri kami sendiri," kata Pei Jing.

Musim yang sukar buat beregu negara itu Kian Meng-Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-21 dunia apabila mereka gagal mara sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam semua kejohanan yang disertai.

Keadaan itu juga menyaksikan mereka berada di zon yang berkemungkinan akan digugurkan daripada program Road To Gold (RTG), yang akan menjalankan penilaian prestasi ke atas atlet bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 2:43 PM