MISBUN pada sidang media di Serasa Garden, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
MISBUN pada sidang media di Serasa Garden, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilihat masih relevan untuk memegang tampuk nombor satu badak induk itu.

Pandangan itu disuarakan bekas pengarah kejurulatihan perseorangan remaja negara, Datuk Misbun Sidek memandangkan Norza sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sangat baik sejak menduduki kerusi nombor satu badan induk itu sejak 2017.

"Saya rasa sedih juga apabila Tan Sri Norza mengumumkan untuk meletak jawatan hujung tahun ini, tetapi untuk saya kenapa beliau nak berhenti?

"Jika tanya saya, beliau masih lagi relevan dan berwibawa sebagai presiden.Dengan adanya beliau, kita ada akademi (Akademi Badminton Malaysia), kita mendapat penajaan daripada penaja dan BAM ada reputasi yang tinggi.

"Cuma yang tidak ada sekarang ini hanyalah keputusan (kejuaraan daripada pemain-pemain negara)," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Norza dalam satu sidang media pada 2 Ogos lalu mengumumkan akan meletakkan jawatannya pada hujung tahun ini, lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkannya pada 15 Julai lalu.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau sudah mempunyai beberapa calon yang berpotensi bagi menggantikan tempatnya menerajui BAM.

Dalam pada itu, Misbun juga menolak tanggapan keputusan dibuat Norza itu adalah disebabkan kemelut yang melanda antara dirinya dengan BAM sebelum ini berhubung penamatan kontraknya lebih awal selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara.

"Saya rasakan tindakan Tan Sri Norza meletak jawatan bukan disebabkan isu saya, mungkin beliau sudah ada perancangan tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 6:27 PM