PEARLY (kanan) muncul wanita pertama yang berjaya mencatatkan kelajuan smash lebih 400km/j. FOTO ASWADI ALIAS
PEARLY (kanan) muncul wanita pertama yang berjaya mencatatkan kelajuan smash lebih 400km/j. FOTO ASWADI ALIAS
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pukulan smash jaguh badminton negara, Pearly Tan kini dinobat sebagai pukulan terpantas dunia bagi kategori wanita dengan kelajuan 438 kilometer sejam (km/j), 65.5 km/j, lebih laju daripada sebuah kereta Formula Satu (F1).

Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh jenama sukan badminton terkemuka dunia, Yonex dalam satu kenyataan hari ini yang mana rekod itu dilakukan di Gimnasium Yonex Tokyo Factory pada 14 April lalu dengan menggunakan model Nanoflare 1000 Z.

Menurut kenyataan itu, rekod yang dilakukan Pearly itu diiktiraf Guinness World Records sekali gus menjadi wanita pertama yang berjaya mencatatkan kelajuan smash lebih 400km/j.

"Impak smash yang dilakukan dirakam menggunakan kamera laju tinggi. Kelajuan bulu tangkis selepas impak smash kemudian dikira berdasarkan rakaman fotografi.

"Jarak pergerakan dan masa yang diambil oleh bulu tangkis dikira antara dua koordinat kelajuan segera dikira berdasarkan pengukuran jarak, masa, dan kelajuan," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Yonex turut memaklumkan pemain India, Satwiksairaj Rankireddy turut berjaya memecahkan rekod dunia smash terlaju dunia yang pernah dipegang jaguh badminton negara Tan Boon Heong.

Pada sesi ujian itu, Rankireddy berjaya mencatatkan pukulan smash terlaju di dunia dengan kelajuan 565 km/j sekali gus memadamkan rekod lama 438 km/j yang dilakukannya menggunakan raket model sama digunakan oleh Pearly Tan.

Dengan dua rekod yang dicipta oleh Pearly dan Rankireddy ini sekali gus menyaksikan sukan badminton lebih laju daripada sukan bola yang lain apabila dibandingkan dengan rekod kelajuan terpantas dalam Guinness World Records.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 4:57 PM