AKSI  Jin Wei ketika menentang pemain Thailand, Ratchanok Intanon.
AKSI Jin Wei ketika menentang pemain Thailand, Ratchanok Intanon.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain badminton wanita negara perlu diberikan lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa bagi memastikan mereka lebih kental dan mampu mempamerkan aksi mantap di kejohanan besar seperti Piala Uber.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata terdapat pemain muda seperti Teoh Mei Xing, Anna Cheong dan Valeree Siow dilihat agak 'goyang' apabila bersaing dengan lawan lebih berpengalaman daripada mereka.

"Mereka tidak mempercayai kemampuan diri dengan sepenuhnya apabila beraksi dalam kejohanan besar. Jelas, saingan Piala Uber masih terlalu besar untuk mereka," katanya.

Skuad wanita negara tersingkir daripada saingan Piala Uber yang berlangsung di Bangkok, Thailand selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam aksi peringkat Kumpulan C.

Selepas tewas aksi pembukaan di tangan Denmark 2-3 kelmarin, Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan Thailand apabila tunduk 1-4, semalam.

Keputusan itu menyaksikan pintu buat Malaysia untuk layak ke suku akhir sudah tertutup rapat dengan aksi terakhir bertemu Mesir, malam ini sekadar pelengkap jadual.

Namun, di sebalik kekalahan itu, beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah paling menyerlah dalam pasukan apabila berjaya menyumbang mata dalam kedua-dua perlawanan manakala pemain perseorangan, Goh Jin Wei meraih mata ketika aksi bertemu Denmark.

Sementara itu, Rexy berkata, masih ada kelemahan perlu diperbaiki Pearly-Thinaah biarpun berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai beregu pertama dengan menyumbangkan mata kepada pasukan.

"Pearly-Thinaah bermain dengan baik tetapi masih ada yang kurang. Mereka masih teragak-agak dalam membuat keputusan dan itu perlu diperbaiki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 7:21 PM