Pemain nombor satu dunia, Kento Mamota sandaran utama pasukan Jepun. FOTO BWF
Pemain nombor satu dunia, Kento Mamota sandaran utama pasukan Jepun. FOTO BWF
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sejauh mana kemampuan sebenar skuad muda negara di saingan Piala Sudirman akan diuji apabila mereka turun melengkapkan aksi ketiga peringkat Kumpulan D menentang Jepun, malam esok.

Ia sebenarnya peluang terbaik buat pemain muda menimba pengalaman berharga beraksi menentang pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia dan tidak mungkin terjadi di mana-mana kejohanan sebelum ini.

Itulah yang diharapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi Pengarah Kejurulatihannya, Wong Choong Hann yang mahu pemain muda menikmati peluang itu.

Choong Hann berkata, beliau percaya pasukan negara mampu memberikan cabaran sengit, khususnya apabila turun menghadapi Jepun.

"Kita sudah membuat persediaan rapi dan memang pemain sudah mengetahui Jepun adalah ancaman terbesar. Kini adalah masanya untuk mereka memberikan yang terbaik," katanya.

Jepun dijangka akan menurunkan barisan terkuatnya iaitu pemain nombor satu dunia, Kento Mamota dalam aksi perseorangan lelaki, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (beregu campuran kelima dunia), Akira Koga-Taichi Saito (beregu lelaki keenam dunia), Akane Yamaguchi (perseorangan wanita kelima dunia) dan Nami Matsuyama-Chiharu Shida (beregu wanita ke-10 dunia).

Bagaimanapun keputusan sama ada menang atau kalah itu sudah tidak penting apabila Malaysia sudahpun mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan England 3-2 dan Mesir 5-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:37 PM