Aksi beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan pasangan Indonesia pada saingan Sukan Olimpik Tokyo. FOTO Ihsan OCM
Aksi beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan pasangan Indonesia pada saingan Sukan Olimpik Tokyo. FOTO Ihsan OCM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak mempunyai jawapan untuk menafikan cabaran gandingan handalan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan apabila tewas 16-21, 19-21 pada perlawanan kedua Kumpulan D, Sukan Olimpik Tokyo, hari ini.

Keputusan itu bermakna, Aaron-Wooi Yik perlu memastikan dapat meraih kemenangan pada perlawanan terakhir apabila bertemu beregu Kanada, Jason Ho Shue-Nyl Yakura esok untuk memastikan dapat menempah tiket ke suku akhir.

Pada perlawanan hari ini, gandingan negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu nyata tidak dapat memberikan saingan di set pertama sebelum memperkemaskan rentak permainan di set kedua.

Namun lawan mereka yang kaya pengalaman itu tenang dalam situasi genting di hujung perlawanan untuk mengesahkan kemenangan.

Ahsan-Hendra juga melebarkan rekod pertemuan antara mereka kepada tujuh kemenangan berbanding hanya satu yang pernah dimenangi gandingan negara iaitu di Terbuka China 2019.

Aaron- Wooi Yik sebelum ini melakar kemenangan pada perlawanan pertama ke atas gandingan Korea Selatan, Choi Sol-gyu-Seo Seung-jae 24-22, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:43 PM