AARON-Wooi Yik menghormati The Daddies yang juga pasangan paling senior bagi beregu lelaki. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
AARON-Wooi Yik menghormati The Daddies yang juga pasangan paling senior bagi beregu lelaki. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sentiasa menjadikan gandingan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan sebagai rujukan dan idola mereka dalam usaha untuk meraih lebih banyak kejayaan.

Aaron berkata, aksi konsisten dipamerkan oleh gandingan veteran Indonesia itu adalah sesuatu yang perlu dicontohinya serta Wooi Yik kerana mereka mengakui kekurangan faktor berkenaan sehingga menyebabkan sering berdepan kekecewaan sebelum bergelar juara dunia.

"Kami memang menghormati mereka sebab ketika ini dalam acara beregu, mereka adalah paling senior. Walaupun sudah lama beraksi, tapi mereka tetap mampu raih keputusan yang konsisten.

"Soal konsisten inilah yang paling penting untuk kami sekarang bagi membolehkan kami memenangi lebih banyak kejuaraan selepas ini.

"Mereka juga pernah menasihati kami untuk kekal merendah diri dan terus bekerja keras," katanya.

Bagi Wooi Yik pula, bukan mudah untuk seseorang pemain bertahan lama bersaing di pentas tertinggi seperti mana yang dibuktikan oleh Ahsan-Hendra.

"Umur mereka sudah semakin meningkat dan sudah tentu kekuatan mereka tidak sama dengan barisan pemain muda. Tapi mereka masih boleh mengekalkan prestasi di atas gelanggang.

"Sebab itulah saya memang amat menghormati mereka. Saya rasa baik Ahsan atau Hendra, mereka saling mempercayai antara satu sama lain masih lagi boleh pergi jauh," katanya.

Untuk rekod, Ahsan-Hendra mengungguli tujuh daripada 11 pertemuan dengan Aaron-Wooi Yik namun gandingan negara itu mempunyai kenangan manis apabila mengecewakan idola mereka di dua pentas tertinggi itu pada perebutan pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu serta terbaru menewaskan lawan sama di Kejohanan Badminton Dunia, juga di Tokyo, Ogos lalu.

Ahsan-Hendra yang mendapat gelaran 'The Daddies', melalui karier penuh gemilang termasuk pernah muncul juara dunia sebanyak tiga kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 3:40 PM