NORZA berkata dana berkenaan bertujuan untuk membantu PSN meneruskan pentadbiran mereka ketika negara sedang mengalami gelombang ketiga wabak Covid-19. FOTO NSTP
NORZA berkata dana berkenaan bertujuan untuk membantu PSN meneruskan pentadbiran mereka ketika negara sedang mengalami gelombang ketiga wabak Covid-19. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pengurusan Amanah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini meluluskan dana Covid-19 kedua kepada Persatuan Sukan Negara (PSN) bernilai RM300,000.

Bagi persatuan sukan yang memerlukan bantuan berkenaan, mereka boleh memohon bantuan berkenaan bermula esok dengan bantuan dijangka akan mula disalurkan pada minggu pertama November.

Untuk setiap persatuan berdaftar di bawah MOM akan menerima bantuan berjumlah RM10,000 manakala anggota bersekutu akan memperoleh RM5,000.

Menurut Norza, dana berkenaan bertujuan untuk membantu PSN untuk meneruskan pentadbiran mereka ketika negara sedang mengalami gelombang ketiga wabak Covid-19.

"Diharapkan dengan bantuan ini dapat membantu mereka untuk membayar sewa, gaji dan elaun pekerja selain jurulatih dan atlet.

"Ini adalah kali kedua MOM menyalurkan dana untuk membantu anggotanya semasa wabak. Dana pertama yang diwujudkan pada 17 April berjumlah RM300,000 memberi manfaat kepada 23 ahli biasa dan tujuh ahli bersekutu," katanya.

Sebagai tambahan kepada dana Covid-19, ahli jawatankuasa yang bermesyuarat pada pagi ini (semalam) turut meluluskan, pemberian untuk 18 Persatuan Sukan Negara (10 anggota biasa dan lapan anggota bersekutu) berjumlah lebih RM300,000.

Selaras dengan terma rujukan untuk Dana Amanah OCM, pemberian dana ini diluluskan untuk penganjuran pertandingan, seminar pendidikan, kem latihan, program akar umbi dan pembelian peralatan sukan.

Ini kerana jawatankuasa sedar dalam keadaan yang tidak menentu ketika ini beberapa acara yang dirancang terpaksa ditangguhkan berikutan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 10:07 PM