Aksi Christian Pulisic (kiri) dalam salah satu perlawanan Liga Perdana. FOTO AFP
Aksi Christian Pulisic (kiri) dalam salah satu perlawanan Liga Perdana. FOTO AFP
Agensi

CHRISTIAN Pulisic mengesahkan dirinya 100 peratus cergas untuk beraksi pada perlawanan final Piala FA antara Chelsea dan Arsenal di Wembley, esok.

Pemain sayap berusia 21 tahun itu terlepas aksi kemenangan 3-1 peringkat separuh akhir ke atas Manchester United kerana berdepan kecederaan ringan dan beraksi sebagai pemain gantian ketika kekalahan 3-5 di Liverpool beberapa hari kemudian.

Pulisic beraksi dalam kesebelasan utama Chelsea dalam perlawanan terakhir Liga Perdana berdepan Wolves pada Ahad yang berakhir dengan kemenangan 2-0, namun dia digantikan di hujung babak permainan.

Bagaimanapun, Pulisic memberitahu ESPN : "Saya tidak pernah berdepan masalah sebenar. Saya 100 peratus cergas."

Keadaan itu memberikan suntikan buat Lampard dan Chelsea yang memburu kejuaraan Piala FA kesembilan mereka dan kejayaan final kedua ke atas Arsenal dalam tempoh setahun selepas menewaskan lawan 4-1 untuk menjulang trofi Liga Europa musim lalu.

Pulisic membayangkan bekas rakan sepasukannya di Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang adalah ancaman utama pasukan selepas penyerang itu meledak 27 gol dalam semua kejohanan untuk Arsenal musim ini.

"Saya sangat mengenalinya," tambah Pulisic. "Dia sangat hebat dengan caranya menghidu peluang. Dia sentiasa merbahaya, jadi kami harus berhati-hati dengannya dan mereka juga mempunyai beberapa pemain bagus. Tapi dia semestinya salah seorang yang perlu diberi perhatian.

"Kami sentiasa menjadi rakan baik. Saya beraksi bersamanya sudah lama.

"Ketika ini, kami sememangnya memberi tumpuan dan mahu mencatat kemenangan. Ia akan menjadi pertarungan yang hebat."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 11:17 AM