PASUKAN UiTM FC kembali menyambung latihan. FOTO Ihsan Facebook UiTM FC
PASUKAN UiTM FC kembali menyambung latihan. FOTO Ihsan Facebook UiTM FC
Firdaus Hashim


UITM FC dan Selangor 2 menjadi pasukan terbaharu yang mengadakan latihan semalam sejak kebenaran diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 15 Jun lalu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Skuad UiTM yang beraksi di Liga Super dikendalikan Frank Bernhardt mengadakan sesi latihan di tiga padang berbeza dengan dua kumpulan pemain ditempatkan di Padang Sintetik UiTM dan satu lagi kumpulan di Stadium UiTM Shah Alam.

Pengalaman mengikuti latihan pada hari pertama di bawah SOP tertentu jelas memberikan perbezaan ketara buat ketua pasukan UiTM Muhd Faizal Mohd Arif, yang mengakui itu sebagai satu norma baharu yang perlu diterima semua pemain.

"Tiga bulan tidak berlatih, sememangnya terasa satu kelainan ketara bila kembali di atas padang apabila kena berlari dan pelbagai latihan lain walaupun kami semua ada berlatih sesama sendiri di alam maya.

"Memang banyak perkara kena biasakan dengan SOP ini terutamanya tidak boleh berkongsi air minuman manakala selepas latihan, kami tidak dibenarkan berkumpul untuk berbual dan perlu segera pulang ke rumah untuk membersihkan diri.

"Waktu latihan selama 45 minit juga dirasakan amat sekejap kepada kami yang selalunya berlatih untuk tempoh satu setengah jam, tetapi kami faham ini adalah satu yang dipatuhi dalam SOP demi kebaikan bersama, " katanya.

Dalam pada itu ketua pasukan Selangor 2, Sharul Nazeem Zulpakar juga berkongsi pandangan yang sama dengan Faizal yang berasakan mereka masih perlu diberikan masa mengikut SOP yang ditetapkan MFL selain mengharapkan liga dapat bersambung lebih awal namun semuanya bergantung kepada keputusan MFL.

"Selepas menjalani hari pertama latihan, saya rasa begitu berbeza sekali kerana latihan tidak boleh berkumpulan seperti sebelum ini kerana diterhadkan kepada sepuluh pemain dan empat jurulatih sahaja dalam padang.

"Jika keadaan dah semakin pulih, saya harap liga boleh bermula awal tetapi apa pun sebagai pemain saya ikut sahaja keputusan FAM dan MFL malah dalam masa yang sama, pemain juga perlu membuat persiapan untuk menghadapi liga yang akan bermula tak lama lagi, " katanya.

Sebelum ini, pasukan Negeri Sembilan muncul pasukan pertama menjalani latihan susulan penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu sekali gus menghalang aktiviti sukan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 4:04 PM