GAMBAR hiasan. FOTO Abdullah Yusof
GAMBAR hiasan. FOTO Abdullah Yusof
Aida Adilah Mat


BIARPUN banyak aktiviti sudah dibenarkan untuk dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun aktiviti yang membabitkan kolam renang masih lagi tidak dibenarkan.

Ini kerana belum ada sebarang bukti atau kajian bahawa Covid-19 itu tidak boleh merebak di dalam air malah tiada satu pun kolam renang awam di buka kepada orang ramai di seluruh dunia.

Justeru Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap orang ramai dapat bersabar dan mengikuti arahan yang dikeluarkan kerajaan sehingga pengumuman baru dibuat.

"Ketika ini aktiviti yang bersangkutan dengan kolam renang masih tidak dibenarkan. Kolam renang ini adalah kemudahan yang membabitkan orang awam.

"Kita masih lagi dipandu oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang hingga setakat ini KKM masih belum bersetuju untuk membenarkan kolam dibuka kerana ia mendedahkan kepada lebih ramai orang termasuk kanak-kanak di apartment dan kondominium yang pastinya sukar dikawal.

"Hanya kolam renang yang digunakan oleh atlet di bawah program Road To Tokyo (RTT) dibenarkan untuk dibuka kerana ia hanya membabitkan atlet seperti Welson Sim dan juga penerjun negara. Tiada orang lain dibenarkan menggunakan kolam itu sepanjang latihan berlangsung," katanya.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan kelonggaran kepada beberapa jenis sukan untuk kembali menjalani latihan bermula 15 Jun ini.

Antara sukan yang dibenarkan adalah seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring manakala sukan tempur seperti karate, taekwando dan silat masih kekal tidak boleh dimainkan secara 'match play'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 6:46 PM