MUELLER (kiri) menjangkakan pertemuan dengan Dortmund Selasa ini bakal berlangsung sengit walaupun tanpa penyokong. FOTO AFP
MUELLER (kiri) menjangkakan pertemuan dengan Dortmund Selasa ini bakal berlangsung sengit walaupun tanpa penyokong. FOTO AFP
AFP

PENYERANG Bayern Munich, Thomas Mueller menjangkakan saingan sengit bakal tercetus dalam aksi tanpa penonton, menentang Borussia Dortmund Selasa ini dan akan menjadi penentu kepada kejuaraan liga musim ini.

Mueller menjaringkan gol ketika mereka beraksi di laman sendiri menumpaskan Eintracht Frankfurt semalam, manakala Dortmund yang menduduki tangga kedua masih ketinggalan empat mata walaupun mereka menang 2-0 di Wolfsburg.

"Kami tidak pasti bagaimana aksi akan berlangsung tanpa penonton nanti tapi saya jangkakan, saya sendiri dan pasukan akan memberikan persembahan terbaik.

"Sudah pasti kami mahu ada penyokong di sana. Tidak ada perkara lain yang indah selain menentang Dortmund di Allianz Arena atau di tempat mereka.

"Bagaimanapun, itu adalah kerja kami dan kami akan menunjukkan walaupun tanpa penonton kami mampu beraksi dengan keazaman tinggi," kata Mueller.

Bayern dalam usaha untuk memburu kejuaraan kali kelapan berturut-turut, dan kemenangan di Dortmund akan menyaksikan mereka menjarakkan kedudukan dengan perbezaan tujuh mata tatkala masih berbaki enam perlawanan.

Sebelum ini, Bayern tidak berdepan masalah untuk membelasah Dortmund 4-0 ketika kedua-dua bertemu di Allianz Arena November lalu.

Bagaimanapun, sejak Dortmund menandatangani peledak berwibawa, Erling Braut Haaland, pemain kelahiran Norway itu sudah menjaringkan 10 gol dalam saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 1:28 PM