Pogba (kiri) turut menjadi buruan PSG. Di Maria (kanan) pemain tonggak PSG. FOTO Agensi
Pogba (kiri) turut menjadi buruan PSG. Di Maria (kanan) pemain tonggak PSG. FOTO Agensi
Agensi

PARIS Saint-Germain dilaporkan membida untuk bintang Manchester United, Paul Pogba namun lebih mengejutkan Old Trafford apabila ia membabitkan pertukaran Angel Di Maria sebagai sebahagian daripada perjanjian kontrak.

Masa depan Pogba di United adalah tidak pasti selepas dia mendedahkan keinginannya untuk meninggalkan kelab itu musim panas lalu dan terus dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah yang lain.

Pemain kebangsaan Perancis hanya melakukan sembilan penampilan buat kelab itu dalam semua kejohanan musim ini selepas berdepan masalah kecederaan buku lali berpanjangan.

Kini, Calciomercato mendakwa PSG membuat bidaan untuk Pogba ketika mereka mensasarkan impian untuk memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab itu.

Laporan menyatakan pelaburan membabitkan wang yang tinggi ditawarkan dengan harapan United dapat melepaskan pemain yang hanya mempunyai baki kontrak setahun termasuk pilihan untuk menyambung kontrak jika kelab berkenaan mahu melanjutkan kontraknya.

Namun kejutan terbesar menerusi perjanjian itu adalah termasuk menawarkan dua pemain, Di Maria dan pemain tengah Jerman, Julian Draxler sebagai sebahagian daripada perjanjian berkenaan.

Kemasukan Di Maria agak sukar diterima United yang memberikan pengalaman mengecewakan buat pemain Argentina itu ketika beraksi selama setahun di Old Trafford pada 2014-15.

Pemain kebangsaan Argentina itu memulakan aksi dengan agak baik menerusi jaringan menarik berdepan Leicester City namun bergelut untuk memberi impak kepada pasukan di bawah kendalian Louis van Gaal.

Dia kemudian dijual ke PSG pada 2015 di mana dia menyelamatkan semula karier dengan kemenangan kejuaraan liga empat kali berturut-turut.

Sekalipun lima tahun sudah berlalu sejak Di Maria meninggal United namun tiada keserasian antara kelab dan pemain itu, ketika pemain sayap berkenaan meraikan kepulangannya pada 2018 di hadapan peminat Old Trafford apabila pasukannya menang 2-0.

Sebelum United mentertawakan pemain itu ketika bangkit dengan kemenangan 3-1 pada aksi timbal balik di Parc des Princes untuk mengikat kedudukan 3-3 secara agregat dan mara ke peringkat suku akhir berdasar gol di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 12:37 PM