VETTEL (kanan) bersama Leclerc. FOTO Agensi
VETTEL (kanan) bersama Leclerc. FOTO Agensi
Agensi

KETIKA Charles Leclerc sudah pun mengikat kontrak jangka panjang bersama Ferrari sehingga penghujung 2024, identiti rakan sepasukan pada tahun depan masih lagi belum ditentukan.

Juara dunia empat kali Sebastian Vettel menegaskan dia mahu kekal dan prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto berkata pelumba Jerman itu tetap menjadi pilihan mereka.

Leclerc dan Vettel beberapa kali berdepan insiden tegang tahun lalu dengan yang paling ketara di Brazil apabila kedua-duanya terpaksa keluar litar selepas jentera masing-masing berlaga sesama sendiri tetapi Leclerc berkata insiden memalukan itu telah pun dilupakan mereka.

"Walaupun kami berdepan masalah di atas litar seperti di Brazil, saya gembira dengan Seb dan hubungan kami baik walaupun dari luar tampak tidak harmoni" katanya ketika ditemuramah media menerusi panggilan video di rumahnya di Monaco semalam.

"Jadi saya gembira jika dapat terus bersamanya tetapi saya akan menghormati keputusan Ferrari tanpa mengira siapa di sebelah dan akhirnya menjadi tugas saya menyesuaikan diri dengan rakan baharu. Anda juga boleh belajar sesuatu daripadanya.

"Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja tetapi jika Seb kekal sudah tentu saya gembira."

Rundingan di antara Ferrari dan Vettel masih lagi berjalan dan ketika ia belum dimuktamadkan, Vettel mencadangkan keputusan dilakukan sebelum bermula kembali kempen musim 2020.

Sementara itu, akhbar Itali La Gazzetta dello Sport melaporkan minggu lalu, Vettel mahu kontrak baharu sekurang-kurangnya dua tahun tetapi Ferrari meletak syarat pengurangan gaji.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 2:11 PM