AB Ghani. FOTO Owee Ah Chun
AB Ghani. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim

“KITA sedia pertimbang cadangan untuk kebaikan semua pasukan.”

Demikian maklum balas Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang bersedia menerima pandangan daripada semua rakan kongsi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ia termasuk cadangan beberapa pasukan supaya saingan Piala Malaysia dirombak formatnya atau dimansuhkan bagi memastikan saingan liga tempatan tidak diheret hingga ke bulan Disember dengan kekal mengakhiri kempen pada penghujung November.

Jelas Ghani, MFL sentiasa menitikberatkan dan menjaga kepentingan pasukan selain rakan penaja yang turut menyumbang dalam kancah liga domestik.

“Kita sudah ada beberapa strategi dan perancangan untuk memastikan Liga M berjalan lancar sebaik penangguhan liga berakhir disebabkan penularan Covid-19.

“Tapi, kita juga sedia mengambil apa jua pandangan dan cadangan daripada pasukan demi kebaikan liga kita. Saya ambil maklum akan cadangan itu (rombak format Piala Malaysia) dan akan dibincangkan nanti.

“Apa yang mustahak, kita tidak mahu pasukan menghadapi masalah di kemudian hari dan sebagai badan induk yang menyelaraskan Liga M, kita akan selesaikan dengan cara terbaik dan memuaskan hati rakan kongsi,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan MFL digesa supaya menilai dan mengkaji semula perjalanan Liga M musim ini bagi mengelak sebarang kos tambahan yang boleh membebankan kewangan pasukan susulan penundaan perlawanan ekoran wabak Covid-19.

Penangguhan liga yang diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) minggu lalu hingga ke satu tarikh baharu, bakal memberi kesan kepada jadual liga tempatan yang dibimbangi diheret sehingga ke bulan Disember.

Sekiranya ia berlaku, sudah tentu akan memberi kesan kepada kantung pasukan terutama membabitkan isu kontrak pemain terutama tonggak import yang diikat sehingga penghujung November.

Lantas, sekiranya liga dimainkan hingga Disember ini, ia akan mencetuskan masalah seperti mana pada musim 2015 berpunca daripada masalah jerebu yang menyaksikan beberapa pasukan berdepan situasi genting apabila pemain enggan beraksi susulan kontrak yang tamat hujung November.

Antara cadangan yang difikirkan sesuai adalah memendekkan atau mengubah format pertandingan Piala Malaysia yang biasanya dilangsungkan selepas kempen Liga Super berakhir bermula Ogos hingga November.

Malah, ada juga yang berpandangan untuk memansuhkan saingan Piala Malaysia pada musim ini bagi mengelak ia berlanjutan hingga Disember.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:45 AM