PERTAHANAN Pahang bekerja keras mengekang asakan penyerang Selangor. FOTO FB Pahang FA
PERTAHANAN Pahang bekerja keras mengekang asakan penyerang Selangor. FOTO FB Pahang FA
Asrol Awang

DOLLAH Salleh menjelaskan bukan sahaja bahagian pertahanan, malah tengah dan serangan juga perlu diperkemaskan selepas tewas 1-2 di tangan Selangor, kelmarin.

Pengendali Tok Gajah itu berkata, kelemahan itu jelas terserlah pada perlawanan pertama Liga Super yang memerlukan penambahbaikan jika mahu memberi saingan apabila berdepan lawan.

"Tidak dinafikan jentera pertahanan tidak dapat menyerap tekanan hingga memberi ruang lawan menjaringkan gol terutama kelekaan di hujung perlawanan. Tapi, jentera tengah juga tidak berada pada prestasi terbaik hingga membiarkan ruang kosong dan hilang bola yang menyukarkan mereka untuk bermain dengan baik.

"Saya juga tidak boleh menyalahkan seorang atau dua pemain kerana kita bermain sebagai satu pasukan dan semuanya perlu lebih fokus," katanya.

Kelmarin, biarpun Pahang menjaringkan gol pendahuluan menerusi penyerang import, Ivan Carlos pada minit ke-20 tetapi kebangkitan yang dilakukan Selangor membolehkan skuad itu membawa pulang tiga mata.

Kemenangan Red Giants itu hasil sumbangan jaringan oleh Ifedayo Olusegun minit ke-27 dan Brendan Gan minit ke-89. Pahang yang mempertaruhkan Dickson Nwakaeme di bahagian serangan bersama gandingan baru, Carlos gagal memberi tekanan kepada lawan.

Justeru, Tok Gajah perlu memperkasakan kembali skuad itu apabila bertemu PJ City FC, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:31 PM