PEMAIN Kelantan menjalani latihan di Kota Bharu, kelmarin.
PEMAIN Kelantan menjalani latihan di Kota Bharu, kelmarin.
Oleh Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (Kafa) tidak akan lari daripada menunaikan tanggungjawab terutama dalam soal gaji pasukan tidak kira sama ada ia membabitkan skuad utama mahupun belia.

Setiausaha Agungnya, Hussin Deraman mengakui sememangnya ada beberapa pemain daripada pasukan Piala Presiden dan pasukan Piala Belia masih tidak dibayar dan berjanji akan menyelesaikan tunggakan berkenaan sebelum 31 Januari ini.

“Saya akui benda itu (tunggakan gaji pemain belia). Tapi, saya kena kenal pasti dulu pemain mana kerana ada sebahagian yang dah dibayar dan ada juga yang masih belum bayar.

“Masa pembayaran itu kita beri keutamaan kepada yang masih dalam skuad. Jadi saya kena semak dengan bahagian akaun dan selepas itu kita akan uruskan pembayaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, Kafa yang dipimpin pengurusan baharu yang dilantik pertengahan musim lalu menegaskan tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih sebaliknya cuba menguruskan kebajikan pasukan dengan sebaik-baiknya.

“Benda ini kita kena bayar... kita kena selesaikan macam mana sekalipun, sebelum bermulanya musim baharu sebab kita dah berjanji dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

“Kita akan selesaikan mana-mana hutang semasa atau yang dahulu. Kita nak pastikan tak ada langsung (hutang) sebelum 31 Januari ini.

“Kalau hutang tak selesai, FAM akan tanya balik kita. Mungkin ia akan membabitkan potongan mata dan kita tidak akan ambil mudah dan amat serius untuk selesaikan,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan beberapa pemain skuad Piala Presiden skuad The Red Warriors melahirkan kebimbangan mengenai nasib mereka apabila Kafa masih gagal melunaskan tunggakan gaji selama lima bulan.

Malah, mereka juga mendakwa Kafa ‘memilih bulu’ apabila dilihat lebih serius menangani isu tunggakan gaji skuad Liga Perdana dan membiarkan pemain belia terkontang-kanting tanpa pembelaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:10 AM