GUARDIOLA menganggap Sterling seorang “pemain luar biasa.” — FOTO AFP
GUARDIOLA menganggap Sterling seorang “pemain luar biasa.” — FOTO AFP
AFP

MANCHESTER City berpeluang menekan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool hujung minggu ini ketika Manchester United kelihatan sudah menamatkan badi aksi di gelanggang lawan.

Anak buah Juergen Klopp menyaksikan rentetan kemenangan itu ditamatkan oleh United ketika seri di Old Trafford minggu lalu namun masih selesa enam mata di depan pasukan tangga kedua City.

Juara bertahan kendalian Pep Guardiola itu boleh merapatkan jurang kepada hanya tiga mata, sekurang-kurangnya buat seketika, jika mereka mengalahkan Aston Villa di laman sendiri malam esok, manakala Liverpool berdepan aksi getir menentang Spurs hari berikutnya.

Pasukan muda Chelsea di bawah bimbingan Frank Lampard bertandang ke Burnley selepas meraih enam kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan manakala pasukan tangga ketiga Leicester berkunjung ke Southampton awal pagi esok.

Manchester United terdesak untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran namun bertandang ke Norwich tanpa sebarang kemenangan Liga Perdana di laman lawan sejak Februari lalu.

TOTTENHAM (jersi putih) menang besar pada aksi Liga Juara-Juara. — FOTO EPA
TOTTENHAM (jersi putih) menang besar pada aksi Liga Juara-Juara. — FOTO EPA

Liverpool berdepan aksi gelanggang sendiri menentang Tottenham selepas kurang satu perlawanan menyamai rekod Manchester City 18 kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana.

Juara Eropah itu, yang memegang rekod 44 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri dalam liga, sudah lupa bagaimana untuk kalah di Anfield namun berdepan pasukan Spurs yang bersemangat selepas membelasah Red Star Belgrade di tempat sendiri pada pertengahan minggu ini.

Erik Lamela, yang menjaringkan gol menentang Red Star pada penampilan ke-200 bersama Spurs berkata, kemenangan besar itu menyuntik keyakinan pasukan bermasalah itu.

“Keyakinan kami lebih baik selepas menang 5-0,” kata pemain Argentina itu. “Kami perlukan kemenangan ini, teruskan rentak, cuba menjadi lebih bagus dan bagus serta kini fokus terhadap Liverpool.”

Spurs berusaha untuk membalas dendam kekalahan pada final Liga Juara-Juara musim lalu namun tidak banyak perkara yang menyebelahi mereka.

RODRI (kanan) alami kecederaan hamstring menentang Atalanta. — FOTO Reuters
RODRI (kanan) alami kecederaan hamstring menentang Atalanta. — FOTO Reuters

Tottenham hanya menang sekali dalam 15 perlawanan menentang Liverpool dan tidak menang di gelanggang lawan dalam Liga Perdana sejak Januari lalu.

Guardiola menggesa pasukannya supaya lebih klinikal selepas menang 2-0 ke atas Crystal Palace minggu lalu dan pasukannya bertindak balas denga nmembenam Atalanta 5-1 dalam Liga Juara-Juara.

Di sebalik gesaan Guardila, City tidak begitu malu di depan gol musim ini, meledak 29 gol dalam sembilan perlawanan Liga Perdana.

Penjaring terbanyak mereka dalam semua pertandingan adalah Raheem Sterling, hatriknya pada pertengahan minggu mendapat pujian bosnya, yang memanggilnya seorang “pemain luar biasa.”

Sterling mengumpul 16 gol musim ini buat kelab dan negara – sudah lebih separuh daripada jumlah 31 gol pada kempen terdahulu.

SOLSKJAER (kiri) lega pasukannya menamatkan badi di laman lawan. — FOTO AFP
SOLSKJAER (kiri) lega pasukannya menamatkan badi di laman lawan. — FOTO AFP

Di sebalik komennya mengenai penyerang, Guardiola lebih bimbang dengan keberkesanan benteng pertahannya, yang kelihatan rapuh musim ini dengan ketiadaan Aymeric Laporte.

Kecederaan hamstring Rodri menentang Atalanta mengehadkan pilihan pengurus itu di benteng pertahanan namun John Stones berharap untuk melupakan kekecewaan dan mengukuhkan semula tempatnya dalam kesebelasan utama.

Manchester United hampir mengalahkan Liverpool di Old Trafford minggu lalu namun kunjungan ke Norwich menjadi ujian sebenar terhadap prestasi semasa pasukan itu.

Pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer, hanya dua mata di atas zon penyingkiran, tidak menang di gelanggang lawan dalam liga sejak pengendali dari Norway itu dilantik sebagai pengurus tetap.

United bagaimanapun meraih kemenangan pertama di laman lawn sejak Mac lalu apabila mengatasi Partizan Belgrade 1-0 pada aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

“Ia satu isu yang kami perlu tangani dan selesaikan secepat mungkin,” kata Solskjaer mengenai prestasi pasukannya di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 11:14 AM