SYED Saddiq (kanan) berkata sesuatu kepada skuad hoki negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
SYED Saddiq (kanan) berkata sesuatu kepada skuad hoki negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: “Ini jelas tidak adil.” Itu luahan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak berpuas hati dengan peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang memberi kelebihan kepada pasukan pilihan untuk menjadi tuan rumah kedua-dua aksi play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syed Saddiq merujuk kepada perlawanan membabitkan Britain dengan Malaysia di London pada 2 dan 3 November depan yang pastinya memberi kelebihan besar kepada pasukan campuran England, Scotland dan Wales itu.

“Ini adalah peluang terakhir untuk pasukan negara layak ke Olimpik, tetapi FIH menetapkan kedua-dua perlawanan berlangsung di London. Sepatutnya FIH memberi ruang dan juga peluang kepada kita untuk menjadi tuan rumah. Jadi, bagi saya ini tidak adil,” katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia yang berada di sekitar London dapat hadir ke Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley untuk memberi sokongan kepada Malaysian Tigers.

“Jika FIH seperti mahu menyukarkan Malaysia, maka kita seharusnya dapat memberi sokongan dengan hadir ke stadium supaya pasukan negara dapat merasai suasana seperti beraksi di gelanggang sendiri.

“Saya juga akan ke sana untuk memberi sokongan kerana sudah hampir 20 tahun kita menunggu untuk layak ke Sukan Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke atas barisan pemain negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 6:00 AM