ABU Samah (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Le Tour De Langkawi (LTDL) Tahun 2019 di Menara KBS, Putrajaya.
ABU Samah (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Le Tour De Langkawi (LTDL) Tahun 2019 di Menara KBS, Putrajaya.
Azlan Muhammad Zain


PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan membincangkan tindakan susulan untuk Le Tour de Langkawi (LTdL) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Isnin depan.

Perlumbaan berprestij berkenaan ‘diturunkan pangkat’ kepada 2.1 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pengurusan penghujung bulan lalu.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab ketika ditanya mengenai rayuan kepada UCI, menjelaskan ia bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama KBS pada Isnin nanti.

“Sekarang kita tunggu 7 Oktober (Isnin)...sekiranya rayuan, ia adalah untuk menyertai siri profesional yang baru diperkenalkan UCI kerana hors class sudah tiada pada musim depan,” katanya.

UCI memperkenalkan kategori baru bagi kalendar 2020 dengan memperkenalkan siri profesional bagi menggantikan kategori hors.

Ditanya mengenai peluang untuk diangkat ke siri profesional, Abu Samah enggan mengulas lanjut.

Abu Samah berkata, terdapat dua perkara yang menyebabkan LTdL disenaraikan dalam kategori 2.1 pada tahun depan.

“Masalah yang semua ketahui adalah ketiadaan pasukan berstatus World Tour selain kekurangan liputan media antarabangsa,” katanya.

LTdL berstatus hors class sejak 2003 dan permohonan untuk menyertai siri profesional ditolak UCI sekali gus menyaksikan perlumbaan yang memasuki edisi ke-25 pada tahun depan adalah berstatus 2.1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 8:17 PM