DELEGASI FAM bersama Tashima (tengah) di Tokyo. - FOTO FAM
DELEGASI FAM bersama Tashima (tengah) di Tokyo. - FOTO FAM
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Jepun (JFA) mendedahkan mereka terpaksa menunggu 30 tahun untuk menikmati hasil daripada segala usaha dilakukan bagi mempertingkatkan kualiti sukan nombor satu di negara matahari terbit itu.

Presiden JFA, Kohzo Tashima berkata, pembangunan bola sepak di Jepun mula aktif sekitar penghujung 80-an namun segalanya tidak diperoleh sekelip mata malah banyak pengorbanan perlu dilakukan bagi memastikan matlamat dicapai.

Beliau berkata, jalinan kerjasama kerajaan Jepun menerusi pelbagai agensi dan kerajaan tempatan dijayakan bagi memartabatkan bola sepak di negara matahari terbit itu sekali gus pelbagai kejayaan dapat dicapai termasuklah layak ke pentas Piala Dunia enam kali berturut-turut.

"Ramai ingin kejayaan sekelip mata sedangkan bola sepak bukan begitu. Contohnya di Jepun kami bermula aktif pada penghujung era 80-an tetapi hasilnya datang selepas 30 tahun.

"Kami pernah melalui detik gelap, tiada penonton dan stadium kosong sehingga Liga Jepun (Liga J) dianjurkan dalam usaha kami menukar strategi. Apapun untuk berjaya perlukan sokongan semua pihak. Untuk layak ke Piala Dunia, kita perlu lebih fokus pada pembangunan akar umbi serta sekolah,” katanya sambil menekankan pentingnya pendidikan kejurulatihan sebagai kunci kejayaan.

Sebelum itu, Tashima membentangkan kepada delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan sejarah bola sepak Jepun termasuk mampu mengubah mentaliti semua pihak dengan cepat menerusi Liga J yang dilancarkan pada 1993.

Delegasi FAM diketuai presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengadakan perbincangan dua hala selama lima hari bermula kelmarin di Tokyo, Jepun bagi memenuhi ruang kerjasama berpandukan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani April lalu. Pada masa sama, Tashima turut menjelaskan pembangunan bersepadu membabitkan sembilan pusat serantau, 47 pusat ‘prefecture’ atau negeri dan sokongan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, Tashima mendedahkan 20 jurulatih dikirim ke Piala Dunia Belia FIFA di Malaysia pada 1997 yang dibintangi antara lain Michael Owen dan Thierry Henry untuk membuat penilaian teknikal bagi mencari kaedah terbaik untuk pembangunan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 10:04 PM