GAYA Sarri ketika Juventus  menentang FC Internazionale dalam aksi Piala Juara Antarabangsa di Nanjing, China pada 24 Julai lalu.  - FOTO Agensi
GAYA Sarri ketika Juventus menentang FC Internazionale dalam aksi Piala Juara Antarabangsa di Nanjing, China pada 24 Julai lalu. - FOTO Agensi
AFP

JUVENTUS memulakan kempen Serie A minggu ini di bawah kendalian jurulatih baharu, Maurizio Sarri dengan mengharapkan pengendali veteran itu mampu meneruskan kecemerlangan juara Itali itu.

Gergasi Turin memburu gelaran liga kesembilan berturut-turut dengan menentang Parma di tempat lawan Sabtu ini mungkin tanpa Sarri selepas jurulatih berusia 60 tahun itu didapati menghidap radang paru-paru semalam.

Sarri kembali ke Itali selepas mengharungi musim tak menentu di Chelsea. Dia sebelum itu menjadi jurulatih di bandar kelahirannya, Napoli selama tiga musim.

Di sebalik kejayaan Juventus, pasukan itu kerap dikritik terutamanya corak bertahan yang membosankan dan pemilik kelab mahu gaya serangan lebih berbisa dalam usaha melonjak sokongan penyokong di luar Itali.

Walaupun kejayaan Sarri hanya trofi Liga Europa bersama Chelsea musim lalu, dia berjanji memperkasakan Juventus dengan corak permainan lebih dinamik.

Penjaga gol, Gianluigi Buffon yang kembali ke Turin selepas semusim bersama Paris Saint-Germain yakin perubahan itu mampu membuahkan hasil.

"Sesiapa menurut jalan sama akan selalu meraih keputusan sama, jadi Juve mahu memburu Liga Juara-Juara dengan tranformasi dibawa Sarri.”

Menurut Pengarah Sukan Juventus, Fabio Paratici, segalanya sudah tersedia untuk Sarri mengubah gaya permainan kelab itu.

"Kami sangat gembira dengan apa dilakukannya. Kami membeli Matthijs De Ligt yang menjadi idaman kelab besar," kata Paratici.

"Kami berjaya memperolehinya di samping Adrien Rabiot dan Aaron Ramsey yang turut menjadi buruan kelab ternama. Jadi, Juve mempunyai pemain reputasi tinggi di semua posisi yang bakal memudahkan tugas Sarri.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 8:15 AM