NAURAJ hanya mampu melepasi catatan 2.26 meter.
NAURAJ hanya mampu melepasi catatan 2.26 meter.
BERNAMA

ATLET lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa tidak kecewa walaupun gagal layak beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia IAAFR 2019 di Doha, Qatar, September ini.

Pemenang tiga kali pingat emas Sukan SEA itu gagal melepasi had kelayakan 2.30 meter (m) yang ditetapkan IAAF untuk membolehkan atlet itu bertanding di Kejohanan Dunia.

Nauraj berkata sebagai atlet dia tidak akan membiarkan dirinya berasa kecewa tetapi akan bekerja keras untuk masa depan.

"Saya bertanding di Eropah dan cuba melayakkan diri tetapi hanya dapat melakar setinggi 2.26 meter untuk pencapaian terbaik musim ini, empat sentimeter kurang daripada had kelayakan. Jadi, saya sudah berbincang dengan jurulatih, kami membuat keputusan biarlah (Kejohanan Dunia 2019) berlalu dan fokus perkara seterusnya.

"Saya tidak akan duduk menangis dan kecewa terhadap sesuatu tidak kesampaian tetapi saya akan mengisi semula keazaman dan teruja dengan masa depan," katanya ketika ditemui di Bukit Jalil hari ini.

Atlet tinggi lampai itu berkata, dia menerima situasi sekarang kerana percaya dia telah mencuba sebaik mungkin untuk layak ke Kejohanan Dunia 2019 tetapi nasib tidak menyebelahinya.

Nauraj antara atlet yang layak ke Sukan SEA 2019 selain rakan sepasukan, Lee Hup Wei; Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Jackie Wong Siew Cheer (lontar tukul besi) dan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 9:34 PM