NUR Najwa memperaga pingat emas acara All Events. — FOTO BERNAMA
NUR Najwa memperaga pingat emas acara All Events. — FOTO BERNAMA
Nor Hairulnizam Wahid


RADIN Nur Najwa Radin Dzulfakar tidak pernah meletak sasaran untuk muncul juara All Events pada Kejohanan Boling Antara Negeri di Sunway Megalanes, Petaling Jaya namun mengakui pencapaian itu sesuatu yang mengejutkan.

Dia muncul juara All Events dengan jumlah 3,872 jatuhan pin pada kejohanan yang turut menyaksikannya menjuarai acara beregu dan berpasukan.

Tidak syak lagi dia antara yang turut membantu kejayaan skuad Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan kejohanan bersama Rafiq Ismail yang turut menang emas dalam acara individu, beregu dan All Events.

Skuad boling Kuala Lumpur pulang dengan lapan pingat emas, empat perak dan satu gangsa jauh mengatasi Sabah dan Pulau Pinang di tangga kedua dan ketiga.

NUR Najwa (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan. — FOTO BERNAMA
NUR Najwa (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan. — FOTO BERNAMA

“Pada mulanya, saya menduduki tangga keenam acara perseorangan tapi kemudian dalam acara beregu, purata jatuhan pin semakin lama semakin baik hinggalah acara berpasukan,” kata pemain pelapis kebangsaan berusia 26 tahun itu.

“Jadi dalam acara berpasukan saya buat dengan baik dan menang All Events.

“Memang saya tidak jangka sebab saya tidak memikirkannya dan hanya memberi tumpuan terhadap acara berpasukan, buat yang terbaik, fokus yang terbaik dan kalau ada rezeki, adalah.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 6:48 PM